Skip to main content

UMPSA dan Kerajaan Negeri Pahang Kaji Kebolehlaksanaan Pembinaan Spur Line ECRL

KUANTAN, 3 Ogos 2023 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) bakal melaksanakan Kajian Kebolehsanaan Pembinaan Spur Line Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Negeri Pahang hasil kerjasama dengan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Pahang.

Berlangsung baru-baru ini surat setuju terima bagi menjalankan kajian itu telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Operasi UMP Holdings, Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), BPEN Pahang, Yang Hormat Dato' Ali Syahbana Sabaruddin dengan nilai keseluruhan geran kajian berjumlah RM 350,000.00 untuk tempoh kajian selama sepuluh bulan.

Menurut Dato' Ali Syahbana, daerah yang terlibat dalam cadangan pembinaan spur line ECRL ini adalah di daerah Pekan, Raub, Lipis dan Rompin.

“UMPSA ditugaskan untuk membuat kajian secara menyeluruh sama ada projek pembinaan spur line ECRL ini dapat memberikan impak khususnya kepada ekonomi daerah setempat dan amnya kepada negeri Pahang secara keseluruhannya. 

“Pihak BPEN akan sentiasa memantau pelaksanaan kajian ini secara berkala,” katanya.

UMPSA dan Kerajaan Negeri Pahang Kaji Kebolehlaksanaan Pembinaan Spur Line ECRL

Sementara itu, Tuan Syed Alwi turut mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan dan peluang yang diberikan oleh pihak BPEN kepada UMPSA dalam usaha menentukan keberkesanan projek pembinaan spur line ECRL ini.

Ujarnya, melalui UMP Holdings selaku anak syarikat UMPSA ini, pihaknya akan membantu pasukan penyelidik ini untuk mencapai semua objektif kajian.

Dalam pada itu, Profesor Madya Dr. Hasan berkata, kajian ini akan melibatkan beberapa pusat tanggungjawab dan fakulti termasuklah pihak ITKAS, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dan Fakulti Pengurusan Industri (FPI). 

“Kami juga telah mengenal pasti kepakaran penyelidik yang terlibat bersesuaian dengan kehendak kajian ini.

“Pihak ITKAS akan sentiasa menerokai peluang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dalam pelbagai bidang yang menyumbang kepada kelestarian pembangunan negeri secara keseluruhannya,” ujarnya. 

Turut hadir Timbalan Presiden Kanan, Pembangunan Perniagaan UMP Holdings, Tuan Syed Ezanee Zulfakhri Syed Muthalib, Pengarah ITKAS, Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad, Penyelaras Projek, Profesor Dr. Othman Che Puan dan Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Ir. Dr. Azhani Zukri.

Hadir sama mewakili pihak BPEN merupakan Setiausaha Bahagian, Yang Mulia Tengku Dato' Nor Asmaliza Ku Lah, Ketua Penolong Setiausaha, Azrul Bakhtiar dan Penolong Setiausaha, Muhammad Helmi Derus.

Disediakan oleh: Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal, Institut Kajian Tamadun Dan Kajian Strategik (ITKAS)

Reports by:
Admin UMP News