Skip to main content

UMPSA di tangga 601-800 dunia dalam THE WUR 2024

PEKAN, 28 September 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tersenarai di kedudukan 601-800 Dunia dalam Times Higher Education World University Rankings 2024 (THE WUR) yang diumumkan baru-baru ini. 

Kejayaan ini menyaksikan UMPSA kini berjaya mencapai kedudukan sebaris dengan universiti terbaik dunia. 

THE WUR dinilai berdasarkan kepada Teaching (the learning environment), Research Environment (volume, income and reputation), Research Quality (research influence), Industry (knowledge transfer), dan International outlook (international staff, students and research collaborations). 

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMPSA juga turut tersenarai di kedudukan 611 terbaik di dunia dan 5 terbaik di Malaysia bagi kriteria penyelidikan berkualiti.

“Penilaian THE WUR ini dibuat berdasarkan 1,904 universiti dari seluruh dunia dan pencapaian UMPSA kini meningkat berbanding kedudukan 801-1000 pada penilaian tahun 2023,” katanya. 

“UMPSA yang berusia 21 tahun kini berada di kedudukan ke-8 terbaik di Malaysia dan kedudukan pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN). 

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah buat warga UMPSA yang sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran penyelidikan, kolaborasi strategik bersama industri dan dan pengantarabangsaan program akademik melalui jalinan strategik di pelbagai peringkat dalam dan luar negara,” katanya. 

Ujarnya, UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.

UMPSA di tangga 601-800 dunia dalam THE WUR 2024

Dalam pada itu, universiti menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang menawarkan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi.

Manakala, program kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman dilihat sebagai tanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia.

Dalam bidang penyelidikan pula, universiti memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.

THE WUR edisi 2024 menyaksikan Universiti Malaya (251-300), Universiti Teknologi Petronas (301-350), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Utara Malaysia masing-masing di kedudukan (401-500), Universiti Putra Malaysia (501-600) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Sunway University  masing-masing di kedudukan (601-800). 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat  

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit