Skip to main content

UMPSA di tangga ke-166 dunia dalam THE Asia University Ranking 2024

PEKAN, 1 Mei 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya mencapai kedudukan sebaris dengan universiti terbaik dunia apabila tersenarai di kedudukan 166 terbaik Asia dalam Times Higher Education Asia University Ranking (THE Asia WUR) yang diumumkan baru-baru ini. 

THE Asia WUR ini dinilai berdasarkan kepada kualiti penyelidikan, persekitaran penyelidikan, pengajaran, industri dan pengantarabangsaan. 

UMPSA di tangga ke-166 dunia dalam THE Asia University Ranking 2024

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMPSA juga tersenarai antara universiti terbaik di Malaysia bagi kriteria penyelidikan berkualiti dan pengantarabangsaan. 

“Penilaian THE Asia WUR ini dibuat berdasarkan 739 universiti dari seluruh dunia dan pencapaian UMPSA kini meningkat berbanding kedudukan 201-250 pada penilaian tahun lalu.

“Selain itu, pencapaian ini turut mengekalkan UMPSA di kedudukan pertama terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan kelapan terbaik daripada 23 universiti di Malaysia. 

“Pihak universiti merakamkan penghargaan tahniah buat warga UMPSA yang sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran penyelidikan, kolaborasi strategik bersama industri dan pengantarabangsaan program akademik melalui jalinan strategik di pelbagai peringkat dalam dan luar negara,” ujarnya. 

Katanya, UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa. 

“UMPSA turut menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi dan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi.  

“Manakala, program kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman dilihat sebagai tanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia. 

“Malah, kini program ijazah dual diperluas ke negara China dan Kazakhstan serta menyasarkan kerjasama dengan institusi di Korea dan Jepun pada masa akan datang,” katanya. 

Disediakan Oleh: Hazlina Faisal, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti dan Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri