Skip to main content

UMPSA kini miliki panel solar terapung

PEKAN, 2 November 2023 – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dato' Seri Abdul Razak Jaafar mengadakan kunjungan rasmi buat pertama kalinya ke universiti ini sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah berkuat kuasa pada 1 November 2023.

Ketibaan beliau disambut oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersama barisan pengurusan tertinggi universiti dan dekan-dekan di Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak Pekan.

Dato' Seri Abdul Razak dibawa melawat ke sekitar kampus dan bertemu dengan staf di fakulti serta fasiliti utama kampus, termasuk makmal dan pusat penyelidikan dengan menaiki bas elektrik (EV).

UMPSA kini miliki panel solar terapung

Pada kunjungan kali ini, beliau turut berpeluang melawat sekitar kampus dan menyaksikan sendiri tapak solar terapung di tasik UMPSA baru-baru ini.

Panel solar itu terdiri daripada 240 unit panel, 1 unit inverter 125 Amp dan lebih daripada 136 unit pelampung bagi membentuk kawasan seluas 2,574 meter persegi. 

Sistem apungan panel solar ini direka untuk bertahan di bawah perubahan cuaca dan menjadikan platform dan peralatan operasi panel solar ini kekal seimbang di atas permukaan air.

Ujarnya, pemasangan solar ini melibatkan tiga kaedah iaitu pemasangan di atas bumbung bangunan, pemasangan di atas pakir kenderaan atau dalam istilah teknikal ialah Building Integrated Photo Voltic, BIPV dan pemasangan solar di atas permukaan tasik.

UMPSA kini miliki panel solar terapung

“Projek solar terapung ini mencatatkan sejarah apabila UMPSA merupakan Universiti Awam pertama di negara ini yang mempunyai panel solar terapung berkapasiti 159 kWp bagi penjanaan bekalan elektrik yang dijangka mampu menjana sekurang-kurangnya 197,319 kW tenaga per tahun.

“Selain itu ia juga berpotensi untuk mengimbangi pelepasan 126.1 tan gas CO2 dan menjadikan UMPSA merealisasikan hasrat mencapai sasaran untuk menjadi negara bebas karbon.

“Manakala pemasangan solar berkapasiti 3.58MWp di UMPSA Pekan ini pula dijangka akan dapat mengurangkan penghasilan karbon dioksida (CO2) di dalam Kampus UMPSA Pekan sebanyak 47 peratus bersamaan penjimatan bil elektrik sehingga RM 600,000 setahun,” katanya. 

Dalam pada itu, Dato' Seri Abdul Razak turut berpuas hati dengan pencapaian UMPSA dan mengharapkan hasil gabungan kolaborasi UMPSA dengan semua pemegang taruh bakal menjadikan universiti ini lebih cemerlang pada masa akan datang.

Ujarnya, sebagai universiti terbaik dalam rangkaian universiti teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA akan terus memperlihatkan komitmen universiti di dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, Sosial Dan Tadbir Urus (ESG).  

“Malahan akan sentiasa berusaha untuk memperkenalkan teknologi serta amalan kelestarian kepada masyarakat, mendidik serta yang lebih utama menjadi suri teladan (role model) mengenai prinsip-prinsip kelestarian,” ujarnya. 

UMPSA turut menerima pengiktirafan Three Diamond bagi Penilaian Karbon Rendah Bangunan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), baru-baru ini menjadikan UMPSA membuktikan kemampuan dalam melaksanakan usaha penggunaan tenaga elektrik yang efisien, penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Lain-lain lokasi lawatan juga melibatkan Makerslab & EV Lab yang terletak di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA), Kolam Scuba & Obstacle Course yang terletak di Akademi ADAB, Motion Lab & Sisco Lab yang berada di Fakulti Komputeran serta Pusat Reka Bentuk & Inovasi Teknologi (PRInT).

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
ainaa adhreena