Skip to main content

UMPSA Tempat Ke-3 Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Piala Menteri Besar Pahang 2023

KUANTAN, 7 September 2023 - Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Piala Menteri Besar Pahang 2023 telah mencapai kemuncaknya dengan pengumuman pemenang yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur Kuantan baru-baru ini.

Pertandingan yang sengit itu menampilkan 24 buah sekolah menengah dan institusi-institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di sekitar Pahang yang bersaing dalam membahas isu-isu semasa berkaitan pendidikan, kebolehpasaran graduan, pemerkasaan belia, dan Technical and Vocational Education and Training (TVET). 

Pertandingan yang berprestij itu adalah hasil usaha bersama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dengan Majlis Belia Pahang. 

Ia dianjurkan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar menzahirkan pendapat mereka tentang isu-isu semasa, mengembangkan kemahiran berbahas, dan mempromosikan pemikiran kritis. 

Pasukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang terdiri daripada empat orang pelajar iaitu Ibrahim Ismail Ahmad, Mohamad Faris Izuan Shah Zulkefli, Muhammad Irfan Danial Mohd Rodzi, dan Muhammad Yuzairi Yahadi telah menunjukkan komitmen mereka dalam membina kemahiran berbahas dan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa di seluruh negeri Pahang. 

UMPSA Tempat Ke-3 Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Piala Menteri Besar Pahang 2023

Pasukan UMPSA telah berentap untuk tiga pusingan awal bagi  melayakkan diri ke suku akhir dan mereka tampil cemerlang dengan penuh bergaya sehingga melayakkan pasukan UMPSA ke peringkat seterusnya. 

Di peringkat separuh akhir, UMPSA berhadapan dengan pasukan Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang.

Kedua-dua kedua-dua pasukan telah menunjukkan kemahiran berbahas yang cukup hebat.

Di peringkat akhir pula, UMPSA telah berjaya menduduki di kedudukan ketiga dalam pertandingan tersebut dan seterusnya memberikan sumbangan yang cemerlang dalam bidang bahas di Pahang. 

UMPSA Tempat Ke-3 Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Piala Menteri Besar Pahang 2023

Selain itu, dua orang pembahas dari pasukan UMPSA iaitu Mohamad Faris Izuan Shah Zulkefli telah dinobatkan tempat keenam manakala Ibrahim Ismail Ahmad di tempat kesembilan pembahas terbaik dalam kategori belia di negeri Pahang. 

Majlis Perasmian Penutupan itu telah dirasmikan oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi  Tan Sri Abd. Razak di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan. 

Menurut salah seorang peserta, Muhammad Yuzairi Yahadi, beliau berharap pertandingan ini mampu menjadi platform kepada anak-anak muda ataupun golongan belia tampil berani bersuara.

“Saya juga berharap agar pertandingan ini dapat dianjurkan pada setiap tahun,” katanya. 

Kejayaan pasukan UMPSA di dalam pertandingan ini tidak hanya mencerminkan kualiti pendidikan di UMPSA tetapi juga menampilkan semangat kompetitif dalam kalangan mahasiswa institusi pendidikan tinggi serta mewujudkan sebuah platform untuk pembangunan intelektual dan perkongsian idea dalam kalangan generasi muda negeri Pahang.

Disediakan oleh: Amy Zulaikha Mohd Ali, Pusat Bahasa Moden

Reports by:
Admin UMP News