Skip to main content

Yayasan UMP hulur bantuan untuk pelajar

Pekan, 3 Oktober 2020 - Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) membantu meringankan beban pelajar yang terkesan akibat penangguhan pelajar masuk UMP melalui pemberian insentif bantuan kecemasan.

Bantuan ini termasuklah mereka yang telah berada di dalam kampus atau belum kembali ke kampus namun terpaksa membatalkan tiket pengangkutan atau logistik mahupun yang terpaksa berpatah balik ketika  dalam perjalanan ke kampus.

Menurut Pengerusi Yayasan UMP, Dato’ Sri Md. Sharif Shamsuddin, pada masa ini pihaknya sedang mengumpulkan maklumat daripada pelajar yang terkesan akibat pengumuman tersebut melalui pautan yang akan dihebahkan oleh pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Pihak Yayasan UMP juga membuka permohonan Zakat Pelajar dan Bantuan Sara Hidup bagi menampung keperluan sepanjang tempoh semester baharu yang akan bermula pertengahan Oktober nanti.

“Selain itu, sebagai usaha membantu pelajar yang berada di kampus juga, mereka boleh mendapatkan barangan keperluan diri dan makanan secara percuma di Campus Pantry yang terdapat di kedua-dua kampus UMP Pekan dan Gambang,” ujar beliau.

Beliau berkata, Yayasan UMP yang dahulu dikenali sebagai MyGift UMP yang ditubuhkan sejak Oktober 2016 bertujuan mengumpul dana untuk kebajikan pelajar UMP dengan membiayai program pendidikan, kemasyarakatan serta penyediaan kemudahan pembelajaran tambahan untuk pelajar dan universiti.

Sehingga kini, Yayasan UMP telah mengagihkan lebih RM9 juta kepada 70,464 penerima manfaat termasuk pelajar cemerlang UMP, pelajar miskin, asnaf, golongan B40, pelajar antarabangsa,komuniti setempat dan golongan yang memerlukan.

Baru-baru ini, UMP mengumumkan penangguhan semua pelajar baharu dan pelajar kanan yang dijadualkan akan masuk di kedua-dua kampus UMP Pekan dan Gambang.  

Keputusan ini dibuat dengan merujuk kenyataan media Kementerian Pengajian Tinggi bertarikh 2 Oktober 2020 mengenai Penangguhan Pendaftaran Secara Fizikal atau Bersemuka Pelajar IPT Kemasukan Oktober 2020.
 
Bagi pelajar baharu, mereka tidak perlu hadir secara fizikal atau bersemuka malahan mereka perlu membuat pendaftaran secara dalam talian mulai 5 hingga 9 Oktober 2020 mengikut tatacara pendaftaran yang dimaklumkan melalui laman sesawang rasmi UMP.
 
Selain itu, semua pelajar kanan yang belum kembali ke kampus  hendaklah menangguhkan dahulu kepulangan mereka sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pelajar yang terlibat boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana UMP di talian 09-549 3333 (UMP Kampus Gambang) atau 09-424 6999 (UMP Pekan).

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit