Skip to main content

Nur Farah Nuha Ikon Keusahawanan Siswa UMPSA

GAMBANG, 23 Januari 2024 - Kopi merupakan minuman utama masyarakat Malaysia sejak berzaman lamanya. 

Jika dahulu ia dihidangkan secara kosong tanpa gula dan hitam pekat kini kopi telah melalui evolusi dengan menghasilkan pelbagai aroma dan perisa tambahan seperti latte, americano, brew dan lain-lain yang telah menarik pelbagai golongan untuk membelinya. 

Permintaan yang tinggi dan keuntungan yang luar biasa ini telah menjadi daya tarikan kepada ramai usahawan untuk menceburi perniagaan menjual minuman kopi. 

Pelajar tahun 4, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nur Farah Nuha Umav Majid merupakan antara usahawan siswa yang menceburi perniagaan menjual kopi. 

Nur Farah Nuha Ikon Keusahawanan Siswa UMPSA

Beliau memulakan langkah dengan menjual kopi francais, Rollie Cafe dengan menu utama menjual minuman pelbagai jenis seperti kopi, teh dan soda pada 18 Oktober 2022, di Amphitheatre UMPSA Kampus Gambang.  

Perniagaannya dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 8 malam pada hari Isnin hingga Khamis dan 9 pagi hingga 11 malam pada hari Jumaat hingga Ahad dengan menyasarkan warga UMPSA terutamanya pelajar sebagai pelanggannya. 

Beliau mula berminat dalam bidang keusahawanan apabila masuk ke alam universiti setelah menghadapi masalah kewangan dan bermula mencari duit poket dengan bekerja sambilan bila ada kelapangan.  

Namun, pengalaman bekerja dengan majikan adalah amat memenatkan dan beliau mula sedar yang dirinya lebih selesa menguruskan perniagaan sendiri. 

Bermula dari situ beliau mula mencari jalan untuk membuka perniagaan sendiri dan membantu pelajar-pelajar lain untuk mencari duit poket tanpa mengganggu kelas pembelajaran. 

Walaupun membesar dalam keluarga yang tidak mempunyai latar belakang keusahawanan, namum beliau berani untuk mencuba menceburkan diri dalam bidang ini. 

Realiti hidup memaksa beliau untuk keluar daripada zon selesa. 

Selain bergelar pelajar, beliau juga turut menggalas tanggungajawab sebagai seorang anak dan kakak kepada tujuh orang adik. 

Oleh itu beliau memberanikan diri untuk mencari inisiatif sendiri mencari wang poket tambahan  iaitu memulakan perniagaan menjual minuman Rollie Café

Nur Farah Nuha Ikon Keusahawanan Siswa UMPSA

Katanya, selain dapat menstabilkan kewangan peribadi, bekerja sambilan juga dapat membantu meringankan beban ibubapanya tanpa perlu mengharapkan wang belanja bulanan daripada mereka. 

“Kini, saya sudah lebih setahun mengusahakan perniagaan ini dan telah mencapai jualan empat angka setiap bulan. 

“Malah saya juga telah menggaji tiga orang pekerja untuk membantu operasi perniagaan ini.

“Saya juga sedang dalam proses untuk membuka satu lagi cawangan di UMPSA Pekan dengan memperkenalkan jenama kopi saya sendiri iaitu Brew Lab,” katanya. 

Selain itu juga, beliau telah membantu melahirkan beberapa rakan usahawan aiskrim yang kini telah beroperasi di Amphiteater UMPSA Kampus Gambang. 

Pendorong utama kejayaannya dalam bidang ini adalah Kaharuddin daripada Plantika Groups dan pihak Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK), UMPSA yang memberi peluang kepadanya untuk menceburi perniagaan ini. 

Beliau merasa amat bersyukur kerana diberi peluang dengan memulakan langkah permulaan sebagai pengurus Rollie Cafe cawangan UMPSA Kampus Gambang terlebih dahulu. 

Tanpa bimbingan dan dorongan daripada mereka, beliau tidak akan berada di posisi yang selesa seperti sekarang.

Tambah beliau lagi, UMPSA dapat mewujudkan ekosistem keusahawanan yang ideal dengan mewujudkan kawasan keusahawanan berpusat yang boleh menempatkan banyak kedai yang diusahakan oleh peniaga yang terdiri daripada kalangan pelajar sendiri. 

“Seterusnya, UMPSA juga boleh melonggarkan syarat-syarat untuk memudahkan usahawan dalam kalangan pelajar untuk memulakan perniagaan dalam perkarangan universiti dengan cara mengurangkan harga sewa tapak. 

“Malah, UMPSA juga perlulah meningkatkan promosi dengan mengadakan kempen usahawan muda dengan cara ini, pelajar akan bersikap lebih terbuka untuk melibatkan diri dalam perniagaan. 

“UMPSA haruslah menggalakkan pelajar untuk mendaftar lesen perniagaan dengan menjemput Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke universiti ini secara berkala,” katanya. 

Disediakan Oleh: Halizan Mohmood, Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK)

Reports by:
Admin UMP News