Skip to main content

Projek Dapur Kita: Mahasiswa Bantu Mahasiswa

PEKAN, 13 Januari 2024 – Sebanyak 300 keping roti canai dan 600 keping lempeng berjaya diagihkan kepada mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui inisiatif Dapur Kita dengan pendekatan ‘Mahasiswa Bantu Mahasiswa’.

Edaran juadah berkenaan telah dijalankan di Pusat Aktiviti Pelajar Pekan, dan di Kafe Residen Pelajar 4 serta Payung Putih bagi pelajar di kampus Gambang.

Sukarelawan dari kalangan mahasiswa memainkan peranan penting dalam melaksanakan inisiatif ini kerana mereka terlibat dalam keseluruhan proses termasuklah penyediaan doh roti canai dan adunan lempeng, menebar roti canai, memasak sambal ikan bilis hingga pengagihan kepada mahasiswa UMPSA.

Projek Dapur Kita

Menurut Pengurus Projek di Pekan, yang merupakan pelajar Tahun 2 Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Indra Mahyudin Ishak, program yang memberi impak positif seperti ini perlulah diteruskan untuk menghasilkan mahasiswa sukarelawan bermutu tinggi dan lebih berwibawa antara satu sama lain bukan sahaja antara mahasiswa malah semua komuniti di UMPSA ini. 

“Jalinan perpaduan dan kerjasama semakin erat yang dapat kami buktikan sepanjang kami sukarelawan bergiat bersama-sama dalam persiapan program sehinggalah ke hari kemuncak program.

“Terima kasih Yayasan UMPSA. Projek Dapur Kita bukan sahaja membantu menyediakan makanan, tetapi juga memberikan semangat positif di hujung semester yang mencabar ini.

“Projek Dapur Kita membuktikan bahawa mahasiswa di sini membantu satu sama lain, membina satu komuniti yang lebih bersatu,” katanya. 

Katanya, semoga Projek Dapur Kita ini bukanlah yang terakhir. 

“Saya berharap inisiatif seperti ini dapat terus dilaksanakan untuk membantu mahasiswa di masa hadapan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Mohd Ja’afar turut menghargai dedikasi dan semangat kerjasama Skuad Yayasan UMPSA yang sentiasa komited dalam menyokong program Yayasan UMPSA.

“Kejayaan Projek Dapur Kita adalah contoh nyata betapa kuatnya daya penggerak sukarelawan dalam membina komuniti yang lebih baik.

“Terdapat lebih banyak lagi program dan inisiatif yang akan dilaksanakan dalam tahun ini untuk menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan komuniti mahasiswa serta masyarakat di luar sana,” katanya.

Disediakan Oleh: Nor Azlina Ahmad, Yayasan UMPSA

Reports by:
Admin UMP News