Skip to main content

Kerjasama UMP-MIROS manfaatkan perkongsian teknologi keselamatan jalan raya

Kuala Lumpur, 11 Ogos 2020 – Peluang kerjasama strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bakal memanfaatkan kedua-dua pihak dalam perkongsian teknologi, modal insan, penyelidikan dan kepakaran dalam keselamatan jalan raya.

MIROS merupakan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia yang berperanan sebagai pusat sehenti penjanaan, penghasilan dan penyebaran ilmu serta maklumat keselamatan jalan raya.

Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automatif (FTKMA), Professor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Pengarah MIROS, Ir. Dr. Khairil Anuar Abu Kassim dan Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik, Zulhaidi Mohd Jawi@ Said.

Majlis ini turut disaksikan Pengerusi MIROS, Datuk Suret Singh.

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli kerjasama ini dapat memberikan manfaat terutamanya dalam pengajaran dan penyelidikan mengenai keselamatan jalan raya.

“Sebagai sebuah universiti teknikal di pantai Timur Semenanjung Malaysia, UMP sememangnya bersedia untuk membantu dalam menangani masalah keselamatan jalan raya seiring dengan pertambahan jalan raya di pantai Timur Semenanjung Malaysia.

“Kerjasama ini juga dapat memberi peluang kepada pelajar dan staf serta melahirkan lebih ramai penyelidik berkaitan keselamatan jalan raya.

“Saya berharap usaha sama dalam pembangunan makmal UMP-MIROS yang dipusatkan di bawah FTKMA itu nanti dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MIROS, Ir. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim menyifatkan kerjasama ini merupakan satu sinergi terbaik dalam merapatkan jurang penyelidikan dan pembangunan dalam bidang keselamatan jalan raya di antara sektor awam dan swasta.

“Kerjasama ini juga adalah melalui projek penyelidikan bagi menangani isu-isu keselamatan jalan raya terutamanya yang melibatkan keselamatan pengguna motosikal dan kenderaan persendirian di Malaysia serta berganding bahu mengurangkan kematian di jalan raya.

“Terkini, MIROS ke arah dalam pembangunan Makmal UMP-MIROS di UMP bagi pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan di UMP.

“Kami amat yakin UMP dapat menjadi hub MIROS di pantai Timur Semenanjung Malaysia,” katanya.

Manakala Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad pula berkata, FTKMA dan MIROS telah mula menjalinkan kerjasama dalam program geran dan lawatan sejak empat tahun lepas.

“Kerjasama dalam pembangunan makmal yang menekankan isu keselamatan kenderaan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pelajar dan penyelidik untuk mendapatkan pengalaman,” katanya.

Selain UMP, MIROS turut memeterai Perjanjian Persefahaman bersama 12 rakan strategik keselamatan jalan raya antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), 3M Malaysia Sdn. Bhd., IMU Education Sdn. Bhd., Incision Malaysia, DriveMark Sdn. Bhd., Indonesia Road Safety Partnership, Human Resources Development Agency Ministry of Transportation, TRISAKTI Institute of Transportation and Logistics, dan Institute of Road Traffic Education, India.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris Daripada Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris