Skip to main content

UMP dan Asahitechno Co. Ltd bangunkan teknologi Super Well Point tangani banjir

Pekan, 17 Oktober –Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Asahitechno Co. Ltd Japan dalam perkongsian teknologi bagi mengaplikasikan kaedah menguatkan struktur tanah (ground improvement) dan mengurangkan aras air dalam tanah (ground water level reduction) menggunakan Teknologi Super Well Point bagi menangani masalah banjir di negeri ini.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Presiden Asahitechno Co. Ltd Japan, Shigeyoshi Takahashi menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak Pekan.

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, negeri Pahang sering terdedah kepada risiko banjir yang disebabkan oleh Monsun Timur Laut yang biasanya berlaku pada setiap hujung tahun. Usaha secara kolektif ini tidak mungkin dilakukan tanpa sokongan pelbagai pihak termasuk bantuan teknikal dan sokongan kewangan dari pihak berkepentingan yang berkaitan. “UMP komited dalam menjalankan penyelidikan berimpak tinggi melibatkan kerjasama strategik agensi kerajaan, universiti, institusi penyelidikan dan industri selari dengan Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan `Memasyarakatkan Teknologi’,” katanya.

Dalam pada itu Pusat Kelestarian Sumber Bumi (ERAS) juga akan menjalankan penyelidikan bersama dengan pihak syarikat Asahitechno Co. Ltd, Yamaguchi University,  Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang dalam  membantu mengurangkan masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk setempat.

Turut berlangsung penyerahan Geran Antarabangsa Japan International Coorperation Agency (JICA) berjumlah RM130 ribu bagi menjalankan penyelidikan bertajuk “Feasibility Survey for Utilizing Super Well Point Method for Soft Ground Improvement & Flood Prevention, Malaysia” yang akan diketuai Pengarah ERAS, Profesor Madya Dr. Muzamir Hasan.  Turut sama hadir Pengarah JPS Negeri Pahang, Ir. Jamil Shaari, Profesor Emiritus Dr. Masayuki Hyodo dari Yamaguchi University Japan, Pengurus Kanan (Operasi dan Kawalselia) Lembaga pelabuhan Kuantan, Dato’ Asmawi Nordin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff.

Berita disediakan oleh Mohd Irwan Musa dan Ahmad Amirul Faiz Ahmad Tajudin dari ERAS. Suntingan oleh Bahagian Komunikasi Korporat.