Skip to main content

UMP dan PERHEBAT Bantu Perkasa Bakal Pesara Tentera

Kuala Lumpur, 23 Disember - Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) dalam menyediakan program kemahiran dan latihan yang bersesuaian bagi memperkasakan pembangunan sosioekonomi veteran dan bakal pesara tentera.

Program yang bakal dijalankan UMP melalui anak syarikatnya, iaitu UMP Advanced Education (UMPA) ini tidak hanya mencakupi program pembangunan modal insan termasuk program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) malah ianya melibatkan kerjasama lain seperti perundingan, kepakaran UMP dan apa jua bidang yang diperlukan bagi menyokong keperluan tenaga kerja terlatih yang diperlukan oleh industri. 

Melalui latihan peralihan ini, anggota tentera tersebut mempunyai nilai tambah untuk menyokong keperluan dalam pasaran pekerjaan di pelbagai industri atau memilih untuk bekerja sendiri sebagai kelangsungan hidup sejurus tamat perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kelak.

Berlangsung baru-baru ini, Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Daing Nasir Ibrahim dan  Pengerusi PERHEBAT, Lt. Jen. Dato’ Sri Abdul Aziz Ibrahim (B) dengan disaksikan  Menteri Pertahanan Malaysia, YB Mohamad Sabu yang hadir mewakili YAB Perdana Menteri Malaysia bersempena Majlis Konvokesyen PERHEBAT ke-52 yang berlangsung di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia Kuala Lumpur.

Menurut Profesor Dato’ Sri Daing Nasir, melalui kerjasama strategik ini, UMP juga akan mewujudkan kampus satelit PERHEBAT di UMP bagi tujuan penyelarasan segala aktiviti latihan bagi tujuan manfaat bakal pesara dan veteran ATM.

“Kampus ini juga bertindak sebagai Pusat Sehenti untuk pengurusan program latihan kepada veteran tentera khusus bagi mereka di negeri Pahang. UMP menawarkan kepakaran dalaman bagi melaksanakan program latihan termasuk kepakaran pensyarah berpengalaman,” katanya. Turut hadir sama dalam majlis, Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced Education, Dr. Mohamad Rozi Hassan dan pegawai universiti.

Program kerjasama ini juga mensasarkan 400 hingga 500 orang bakal pesara dan veteran ATM yang akan menjalani latihan sosioekonomi dan program PSH di UMP Advanced bagi tahun 2019 ini.

Disediakan oleh Mohd. Ferdaus Musa dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS