Skip to main content

UMPSA perkukuh kerjasama dengan Kumpulan Yayasan Sabah dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah

KOTA KINABALU, 12 Oktober 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) perkukuh hubungan kerjasama dengan Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) berkaitan penajaan pendidikan dan pengambilan pelajar. 

Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu adalah lanjutan daripada kerjasama yang telah lama terjalin antara Yayasan Sabah, KTYS dan UMPSA. 

Dalam majlis itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menandatangani MoU dengan Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Dato' Sri Haji Gulamhaidar@Yusof Khan Bahadar dan Pengerusi Lembaga Pengarah KTYS, Datuk Hajah Tah Nia Haji Jaman. 

UMPSA perkukuh kerjasama dengan Kumpulan Yayasan Sabah dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah

Menurut Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie, hasil kerjasama dengan Yayasan Sabah ini bakal memberi peluang lebih ramai pelajar dari Sabah yang layak untuk mengikuti pengajian di UMPSA terutamanya bagi program ijazah dual Jerman dan program ijazah dual China. 

“Kolaborasi ini melibatkan program Kejuruteraan UMPSA - Jerman dengan penajaan para pelajar Sabah, maka KTYS perlu dilibatkan sebagai ‘feeder institution’ kepada program berkenaan.

“Kerjasama ini juga tidak terhad kepada penajaan pendidikan, sebaliknya merangkumi segala perkara yang memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak. 

UMPSA perkukuh kerjasama dengan Kumpulan Yayasan Sabah dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah

“Manakala kerjasama melibatkan pihak KTYS turut memanfaatkan  pelajar dari Sabah khususnya KTYS melanjutkan pengajian ke peringkat prasiswazah di UMPSA,” ujarnya. 

Program ijazah dual UMPSA hasil kerjasama dengan universiti di Jerman sejak 12 tahun lalu adalah bersama Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) di dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Elektrikal. 

Ini termasuklah program Kejuruteraan Perniagaan yang melibatkan Mannheim University of Applied Sciences (HMA).

Pada masa ini, UMPSA telah bekerjasama dengan beberapa buah universiti di China seperti Beijing Jiaotong University (BJTU), Tianjin University (TJU), Hebei University (HBU) dan juga Ningxia University (NXU).

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri