Skip to main content

UMPSA, SIT perkukuh kerjasama strategik dalam akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan

PEKAN, 18 Januari 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengukuhkan hubungan bilateral dan kolaborasi strategik akademik dan penyelidikan bersama Shibaura Institute of Technology (SIT), Jepun melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersama Presiden SIT, Profesor Dr. Jun Yamada yang berlangsung secara hibrid di kedua-dua lokasi, UMPSA dan SIT pada jam 11.30 pagi (waktu tempatan) dan 12.30 tengah hari (waktu Jepun).

Hadir sama menyaksikan majlis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik, Profesor Madya Ir. Ts. Faiz Mohd Turan, Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari serta wakil delegasi SIT, Profesor Hiroyuki Ishizaki.

UMPSA, SIT perkukuh kerjasama strategik dalam akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan

Manakala, hadir secara maya adalah Yukiyoshi Saito mewakili Kedutaan Jepun di Malaysia; Pengarah Pusat Program Antarabangsa SIT, Dr. Masaomi Kimura dan Pengurus Besar Bahagian Inisiatif Global, Masahiko Inoda,

Menurut Naib Canselor, MoU ini merupakan salah satu inisiatif UMPSA dalam memperkasakan kerjasama berimpak tinggi dalam bidang penyelidikan dan akademik khususnya bagi program ijazah dual antara UMPSA dan juga SIT. 

“Malah, jalinan global UMPSA dengan institusi di Jepun juga telah bermula sejak sekian lama dan sehingga kini, sebanyak lapan MoU telah ditandatangani bersama institusi-institusi di Jepun bagi tujuan memperkasa kecemerlangan akademik serta pertukaran budaya. 

“Melalui jalinan kerjasama dan MoU tersebut, dua pelajar UMPSA telah berjaya dianugerahkan biasiswa Japan Student Services Organization (JASSO) buat julung kalinya pada tahun 2015 dan dihantar untuk mobiliti dalam Program Bahasa dan Kebudayaan di Kansai University, Jepun selama satu semester.

UMPSA, SIT perkukuh kerjasama strategik dalam akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan

“Selain itu, UMPSA juga berjaya melaksanakan Program Musim Panas bersama Iwate University, Setsunan University dan Yonago National College of Technology,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut berharap agar kerjasama ini dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun dalam memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan di peringkat global.

Disediakan Oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
ainaa adhreena