Skip to main content

FKASA-Civer Dragon Juara Bola Jaring, FSKKP-Arctic Fox juara Futsal UMP Super 5

Kuantan, 29 Mac – Liga Bola Jaring UMP Netbusters menyaksikan pasukan FKASA-Civer Dragon telah dinobatkan sebagai juara manakala FKKSA-Humble Bee naib juara dan FKM-Mecha Rhino selesa di tempat ketiga.

Sementara itu, bagi Liga Futsal UMP Super 5 Kategori Wanita, pasukan FSKKP-Arctic Fox telah muncul sebagai juara bagi edisi sulung manakala FKEE-Dino Thunder berjaya mengetepikan cabaran FIM-Bengal Tiger bagi perebutan tempat kedua dan ketiga kejohanan.

Bagi kategori Lelaki Futsal pula menyaksikan saingan sengit melibatkan kesemua pasukan yang bertanding namun FKEE-Dino Thunder berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimiliki oleh mereka tahun lepas sekaligus mengetepikan cabaran FTEK-Bison dan International-Lions ditempat kedua dan ketiga.

Kejohanan Liga Sukan Dalaman UMP yang masuk edisi ke-6 penganjuran oleh Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dengan kerjasama Majlis Sukan Pelajar (MSP) universiti ini dilihat sebagai medan atlit bagi melahirkan atlit  yang berbakat.

Pengarah kejohanan, Haizad Hashim berkata, kejohanan kali ini dilihat dapat membudayakan aktiviti bersukan dalam diri setiap mahasiswa secara amnya. Kejohanan yang mempertandingkan tiga sukan utama iaitu Bola Sepak, Bola Jaring dan Futsal telah mendapat penyertaan daripada semua fakulti di UMP serta buat pertama kalinya turut mendapat penyertaan dari pelajar antarabangsa dengan menggunakan nama pasukan International-Lions.

“Kejohanan kali ini juga diharapkan dapat melahirkan pelajar yang bergiat aktif, sihat, cergas, dinamik serta berwibawa dan berdaya saing serta memupuk semangat setia kawan dan semangat berpasukan melalui aktiviti sukan di samping menanam jati diri dalam diri mahasiswa,” katanya.

Majlis perasmian dirasmikan oleh Mohd Aznorizamin Ismail yang menjalankan tugas-tugas Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan dalam acara yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMP Gambang. Turut hadir Pengerusi Liga Sukan Dalaman, Nur Adam Maximillian dan Exco Sukan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) merangkap Presiden Majlis Sukan Pelajar UMP, Alex Tiong Sie Hung.

Bagi saingan bola sepak Liga Super UMP,saingan kini memasuki minggu kedua kejohanan dan juara bagi acara itu hanya akan diketahui selepas perlawanan akhir yang dijadualkan pada 17 April depan di Mini Stadium UMP Gambang.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS