Skip to main content

UMPSA perkasa jaringan industri dan alumni dalam INAP

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2023 - Kolaborasi profesional bersama alumni dalam Industry Network Alumni Platform (INAP) merupakan suatu platform buat alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam membina hubungan (networking), berinteraksi dan memberi sumbangsaran atas kapasiti profesional mereka.
 
INAP yang telah ditubuhkan pada tahun 2017 ini merupakan satu platform dan komitmen kerjasama bagi mengukuhkan jaringan strategik di antara universiti dan industri.
 
Sesi libat sama Industry Network Alumni Platform (INAP) bersama Naib Canselor UMPSA dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dilaksanakan sebagai usaha memperkasa jaringan industri dan alumni.
 
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pertemuan ini bakal meningkatkan sinergi potensi kerjasama dan memperkasakan peranan serta fungsi INAP dengan merangka aktiviti juga program kerjasama antara INAP dan pihak universiti.

UMPSA perkasa jaringan industri dan alumni dalam INAP

“Pihak universiti amat mengalu-alukan penglibatan aktif INAP dalam merealisasikan agenda Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dan seterusnya pengurusan alumni adalah amat penting bagi sesebuah universiti, selain hubungan seseorang dengan alma maternya perlu berterusan.
 
“Universiti sentiasa berbesar hati menerima sumbangan balik daripada alumninya dalam pelbagai kapasiti sama ada melalui sumbangan kepakaran, peluang pekerjaan dan juga sumbangan kewangan.
 
“INAP juga mempunyai objektif khusus terhadap pembangunan idea-idea yang konstruksi daripada perspektif profesional alumni yang mempunyai nilai tambah dan berimpak tinggi melalui penglibatan bersama,” katanya.
 
Sementara itu, Pengerusi Interim INAP/Alumni yang merupakan Pengurus Besar, Permula Sdn. Bhd., Ts. Mohd Faiz Zulkifli berkata, sebagai alumni pihaknya menyambut baik sesi libat urus ini yang sangat bermakna dan penting dalam membuat keputusan tentang hala tuju INAP sejak ditubuhkan.
 
“Hala tuju ini merangkumi pendaftaran INAP sebagai satu entiti berdaftar yang sah dan untuk menjalankan semua aktiviti dan perancangan yang telah dirangka pada masa hadapan,” katanya.
 
Beliau mengharapkan pertemuan ini akan menjadi titik asas permulaan penubuhan Koperasi INAP (INAP-COOP) yang akan menjadi platform libat sama Alumni, UMPSA dan Industri.
 
Selain itu beliau turut mengharapkan agar sesi seperti ini dapat dianjurkan lagi secara berkala dan kerap pada masa akan datang dengan melibatkan Persatuan Alumni dan juga pihak-pihak lain yang berkaitan untuk memperkasakan peranan alumni dan universiti.
 
Dalam pada itu katanya lagi, penjenamaan universiti juga diharap dapat membantu menambah nilai semua alumni UMPSA dan mengukuhkan kedudukan dan penarafan terbaik universiti.
 
Hadir sama dalam program Pengurus Besar JHEPA, Haryani Abdullah dan Pengarah Alumni UMPSA, Ts. Dr. Azri Alias.

Turut sama hadir adalah AJK INAP/Alumni, Pengurus, Multiexcel Resources Pahang, Mohd Azim Muhammad, Pengurus Projek, Building Lindungan Sdn. Bhd., Makeen Mohd Amin dan Eksekutif Kanan Alumni UMPSA, Noor Syahidah Sabran.   

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit