Skip to main content

Tengku Mahkota Pahang berbuka puasa bersama warga UMPSA

GAMBANG, 4 April 2024 - Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli beramah mesra dan berbuka puasa bersama lebih 2,000 pelajar dan staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Selain berbuka puasa, Tengku Hassanal yang juga merupakan Pro-Canselor UMPSA turut mengurniakan sumbangan kepada pelajar hasil sumbangan Koperasi Sebausaha Makmur Berhad (KOSMA) dan Yayasan UMPSA kepada seramai 110 pelajar UMPSA yang berkeperluan. 

Turut sama hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, mewakili Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Dato' Indera Nazi Abu Bakar, Pegawai Kewangan Negeri Pahang dan barisan pengurusan Kementerian Pendidikan Timggi (KPT) dan UMPSA. 

Tengku Mahkota Pahang berbuka puasa bersama warga UMPSA

Dalam majlis itu, baginda menyampaikan rasa bangga apabila Yayasan UMPSA mengagihkan sebanyak RM 1.8 juta bagi tujuan kebajikan dan pembangunan  mahasiswa yang akan menjadi pemangkin dalam memperkukuh sokongan dalam memastikan kebajikan pelajar serta memperluas peluang pembangunan bagi meningkatkan kelestarian kecemerlangan akademik. 

Tengku Mahkota Pahang berbuka puasa bersama warga UMPSA

Baginda juga menitahkan supaya rakyat negeri ini mengamalkan sifat bersederhana dan berbelanja dengan berhemah, khususnya ketika menyambut Aidilfitri. 

“Meraikan hari kemenangan setelah umat Islam melalui pelbagai ujian sepanjang Ramadan tiada salahnya, namun perlulah mengikut kepada kemampuan dan tidak sampai sehingga perlu berhutang,” titah baginda dalam majlis yang berlangsung di perkarangan Masjid UMPSA Kampus Gambang. 

Baginda turut menyaksikan serahan sumbangan UMPSA daripada pelbagai syarikat korporat dan dana agensi untuk  manfaat  pelajar khususnya  buat pelajar asnaf dan B40. 

Ahli Lembaga KOSMA, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak menyerahkan replika cek sumbangan KOSMA sebanyak RM10,000 kepada sepuluh orang pelajar fakir miskin UMPSA.

UMPSA turut menerima sumbangan Ramadan oleh Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) sebanyak RM100,000 bagi bantuan menyediakan Iftar Ramadan dan Sahur kepada sekurang-kurangnya 2,000 pelajar pada setiap hari di bulan Ramadan. 

Hadir menyampaikan replika cek, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato' Ahmad Hairi Hussain. 

Lain-lain sumbangan ASNB Dana Biasiswa Kecemerlangan ASNB–UMPSA sebanyak RM80,000 bagi menampung pembiayaan penuh bagi dua orang pelajar cemerlang UMPSA.

PUNB juga menyumbang sebanyak RM62,500 kepada UMPSA bagi bantuan Zakat dan Pelajar yang memberi manfaat kepaa 250 pelajar UMPSA pada awal semester ini.

Manakala UMPSA Advanced menyumbang sebanyak RM50,000 kepada UMPSA bagi tujuan Kebajikan dan Pembangunan Mahasiswa bagi membantu mahasiswa untuk meneruskan pembelajaran di UMPSA. 

Bank Islam Malaysia Berhad  (BIMB) pula menunaikan tanggungjawab berzakat dengan menyumbang kepada Tabung Kebajikan Pelajar UMPSA sebanyak RM20,000 untuk disampaikan dalam bentuk bantuan kepada para pelajar fakir dan miskin.

Yayasan UMPSA turut mengagihkan dana sebanyak RM1.8 Juta kepada Kebajikan dan Pembangunan Mahasiswa UMPSA bagi Pemberian Zakat Pelajar, Bantuan Insentif Kecemerlangan dan Pendidikan, Bantuan Campus Pantry dan Dapur Siswa serta Penajaan Biasiswa UMPSA.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Naqiah Puaad