Skip to main content

Iftar Ramadan percuma buat pelajar UMP

PEKAN, 14 April 2021 - Sebanyak 1,200 pek makanan percuma diagihkan setiap hari buat pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) sepanjang Ramadan kali ini.

Penyediaan iftar secara percuma ini merupakan hasil sumbangan dan infak orang ramai dan organisasi luar kepada mahasiswa UMP dalam menjalani ibadah puasa pada tahun ini.

Terdapat dua lokasi agihan iaitu di Aras 1 Pusat Aktiviti Pelajar, UMP Pekan dan Masjid UMP Kampus Gambang dengan bantuan sukarelawan staf dan pelajar UMP secara berjadual pada setiap hari.

Menurut Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas, pihak Yayasan UMP menyasarkan sebanyak RM174,000 bagi menampung iftar selama sebulan sepanjang Ramadan ini.

“Alhamdulillah sehingga hari ini, sebanyak RM164,000 berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Ramadan.

“Antara penyumbang ini termasuklah pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP), Telekom Malaysia, Persatuan Wanita UMP (Matahari) dan penyumbang lain.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyumbang bubur lambuk dan sumbangan makanan oleh pihak MyFund Action Pahang buat pelajar,” katanya.

Pihak Yayasan UMP turut menerima sumbangan kit kebersihan sabun pencuci tangan jenama Aureiz tajaan Syarikat Medieva Sdn. Bhd. untuk memastikan penjagaan tahap kebersihan sentiasa diberi keutamaan.

Selain itu, pihak Yayasan UMP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar juga mengambil inisiatif mengagihkan 100 set bantuan kit Ramadan kepada pelajar luar kampus yang tinggal di rumah sewa.

Beliau mengharapkan agar sumbangan ini dapat meringankan beban pelajar dan menggembirakan hati mereka tatkala sibuk dengan tugasan pengajian sepanjang Ramadan ini.

Berdepan dengan norma baharu tiada sebarang aktiviti memasak secara bergotong-royong dijalankan.

Malahan pelajar juga tidak berpeluang menikmati juadah iftar beramai-ramai di dalam dulang yang menjadi tradisi di UMP sejak dahulu lagi rentetan pandemik Covid-19.
Disediakan Oleh: Norhidayah Mohamad, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad