Skip to main content

RIMAU Virtual Challenge 2021 kumpul dana RM28,036 untuk pembangunan Kolej Kediaman Mawaddah UMP

PEKAN, 11 Oktober 2021 – RIMAU Virtual Challenge 2021 yang dianjurkan oleh Yayasan UMP berjaya mengumpul dana berjumlah RM28,036 bagi pembangunan Kolej Kediaman Mawaddah di dalam kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan. 
 
‘Virtual Challenge’ atau cabaran maya ini merupakan salah satu inisiatif Yayasan UMP kepada untuk UMP bagi mengumpul dana setiap tabung dan endowmen dalam usaha membantu pelajar dan golongan yang memerlukan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, aktiviti-aktiviti yang berteraskan pembentukan semangat kekitaan dan budaya menyumbang dalam kalangan keluarga UMP dan rakyat Malaysia diharapkan dapat ditingkatkan lagi dalam memastikan kelangsungan pembangunan kebajikan di UMP terus dilaksanakan.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP hadir menerima cek daripada Yayasan UMP bernilai RM28,036 hasil kutipan daripada inisiatif amal ini.
  
Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja'afar berkata, cabaran pada kali ini membolehkan peserta untuk melaksanakannya melalui pelbagai bentuk senaman sama ada berkonsepkan berjalan, berlari mahupun berbasikal.
 
“Ia merupakan cabaran terbaik dalam menyihatkan badan di samping menderma. 

“Inisiatif ini juga sebagai salah satu projek amal atau crowdfunding dalam usaha membantu mengumpul dana bagi pembinaan wakaf Kolej Kediaman Mawaddah yang bakal menempatkan seramai  220 pelajar asnaf dan miskin,” katanya.
 
Kesinambungan daripada program larian amal yang telah berakhir pada 30 September 2021 itu akan diteruskan dengan penganjuran Tok Gajah Virtual Challenge dalam usaha membantu komuniti dan  pelajar baharu yang kurang berkemampuan. 

Hasil sumbangan 100 peratus akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan. 

Pendaftaran aktiviti ini boleh dibuat melalui media sosial Yayasan UMP ataupun portal Yayasan UMP.
 
Selain itu, pelaksanaan bantuan kebajikan ini juga telah digerakkan oleh Yayasan UMP melalui Insentif Pendidikan Yayasan UMP khas kepada pelajar baharu yang mempunyai masalah kewangan untuk menyambung pelajaran ke UMP pada Oktober ini secara berperingkat.

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim