Skip to main content

Pembelajaran Outdoor Dalam Norma Yang Baharu: Apakah Cabarannya?

Populariti aktiviti outdoor khususnya sukan-sukan ekstrem kian mendapat tempat dalam kalangan belia sejak kebelakangan ini. Industri dalam bidang berkaitan juga kian berkembang dan semakin mendapat tempat di Malaysia. Walau bagaimanapun, pandemik yang melanda negara baru-baru ini telah mengubah norma aktiviti outdoor ini sekaligus menimbulkan persoalan apakah pembelajaran outdoor akan mendapat sambutan seperti sebelumnya atau sudah berubah ke arah pembelajaran di atas talian.

Jika dilihat dari sudut yang baharu, pembelajaran di atas talian telah memacu industri akademik di kala ini. Pelbagai aplikasi atas talian digunakan bagi menarik minat pelajar mahupun mahasiswa universiti untuk meneruskan pembelajaran mereka. Ini termasuklah permainan di atas talian yang semakin mendapat sambutan, sungguhpun pada suatu masa dahulu ia sering dilarang oleh para ibubapa. Kaedah yang digunapakai ini merupakan antara norma baharu yang tidak diperkenalkan secara besar-besaran sebelumnya. Apakah di masa mendatang keadaan ini masih diteruskan ataupun sebaliknya? Kita perlu lihat kesannya ke atas individu sekiranya pembelajaran di atas talian mendominasi pembelajaran outdoor dan mengenepikan aktiviti atau sukan outdoor.

Sepertimana yang diketahui, kursus kokurikulum di semua peringkat Institusi Pengajian Tinggi adalah penting bagi mewujudkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa. Antara kemahiran insaniah yang diterapkan termasuklah kemahiran berkomunikasi, kemahiran bekerja di dalam kumpulan, kemahiran kepimpinan dan etika serta profesionalisma. Kursus yang dijalankan ini rata-rata menggunakan alam sekitar atau outdoor sebagai medium pembelajaran. Sekiranya medium ini tidak dapat digunakan atau telah ditukar kepada pembelajaran di atas talian, sudah pasti hasil yang diperolehi adalah tidak sama. Sebagai contoh, pemimpin yang memimpin rakyat atau pekerja dengan hanya menggunakan medium atas talian sahaja, bagaimana sifat empati dapat diterapkan dalam jiwa seorang pemimpin tersebut. Keluh-kesah dan susah-senang rakyat atau pekerja menjalani kehidupan seharian tidak dapat difahami oleh pemimpin tersebut. Bantuan mungkin sampai kepada rakyat atau arahan kerja oleh ketua mungkin dilaksanakan, namun nilai-nilai kemanusiaan hampir tidak dapat digarap. Ini dikatakan kemerosotan sifat belas kasihan dan ihsan sekiranya kemahiran insaniah melalui medium outdoor tidak diteruskan.

Secara dasarnya, pembelajaran atas talian memfokuskan domain kognitif dan tumpuan utama adalah peperiksaan. Mahasiswa yang berjaya di dalam peperiksaan dianggap cemerlang dan yang tidak berjaya adalah sebaliknya. Kesannya adalah masyarakat hanya menumpukan perhatian kepada kognitif sahaja dan mengabaikan kemahiran insaniah tadi dan seterusnya melahirkan masyarakat yang kurang prihatin kepada kebajikan masyarakat serta negara. Terdapat pelbagai lagi penyakit masyarakat yang akan timbul seperti yang digariskan oleh Kurt Hahn (1886-1974) iaitu kemerosotan kecergasan fizikal, kemerosotan disiplin kendiri, kemerosotan kreativiti dan daya usaha, kemerosotan kemahiran berfikir serta kemerosotan pemikiran rasional dan kesabaran. Memikirkan penyakit ini, beliau memperkenalkan pembelajaran berkonsepkan outdoor. Hasilnya, generasi yang bertanggungjawab serta peka terhadap diri sendiri, masyarakat dan alam sekitar dapat dilahirkan. Pelbagai lagi kajian lain telah lakukan dan terbukti bahawa pembelajaran secara outdoor atau juga dikenali sebagai pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) ini mampu membangunkan potensi modal insan dan sekaligus meminimumkan gelaja sosial masyarakat.

Menurut statistik yang telah dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) pada tahun 2016, sebanyak 40 peratus para belia yang mengamalkan gaya hidup sihat dan membudayakan sukan outdoor dalam kehidupan mereka. Manakala pada tahun 2018, peratusannya meningkat kepada 50 peratus dan meningkat kepada melebihi 50 peratus pada tahun 2019. Peratusan ini selaras dengan perancangan dan sasaran KBS. Ini menunjukkan minat menjalani aktiviti outdoor mahu pun pembelajaran berasaskan outdoor boleh dipupuk di kalangan masyarakat. Namun usaha tersebut harus ditingkatkan dari semasa ke semasa agar impaknya dapat dirasai dan sekaligus ia menjadi amalan yang berterusan. Apa yang menjadi keutamaan adalah melahirkan masyarakat Malaysia yang cergas, aktif dan produktif dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran di masa hadapan di samping dapat mengekalkan kesihatan fizikal malah membina kekuatan mental seperti mengawal emosi, fokus, dan membina semangat berpasukan.

Walau apa pun cabarannya, sebagai pendidik, kita seharusnya lebih kreatif dan inovatif dalam mendidik anak bangsa ini agar kita dapat melahirkan mahasiswa yang holistik, selaras dengan kehendak negara. Segala aspek perlu diambilkira agar tidak hanya tertumpu kepada satu sudut pembangunan seseorang mahasiswa.

Pembelajaran Outdoor Dalam Norma Yang Baharu: Apakah Cabarannya?

Disediakan oleh Dr. Siti Rabiatull Aisha binti Idris yang merupakan Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Pahang. E-mel: rabiatull@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri