Skip to main content

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkasa peradaban acuan Malaysia

Pembangunan dan kemajuan sesebuah peradaban dapat dilihat daripada pelbagai aspek. Salah satu daripadanya adalah pembangunan pendidikan. Pendidikan adalah aspek utama dalam melahirkan warganegara cemerlang yang akhirnya menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara. 

Dalam konteks peradaban dunia, Malaysia sangat berbeza dengan peradaban negara lain memandangkan Malaysia membangun dan berkembang berlandaskan kepada peradaban acuan Malaysia. Apakah dia peradaban acuan Malaysia? Peradaban acuan Malaysia adalah terbentuk melalui sejarah. Kemasukan pengaruh luar pada zaman lampau iaitu pengaruh China, India dan Timur Tengah memainkan peranan yang sangat besar di alam Melayu pada ketika itu. 

Peradaban Melayu akhirnya bercampur dengan peradaban luar sehingga membentuk peradaban acuan Malaysia yang kita lihat pada hari ini. Peradaban acuan Malaysia adalah percampuran antara peradaban Melayu, Cina, India Timur Tengah, Barat dan terkini peradaban globalisasi. Percampuran peradaban ini telah meresap ke jiwa bangsa Malaysia melalui unsur-unsur akulturasi, asimilasi dan amalgamasi. Dengan lain perkataan, wujudnya kebersamaan dan perbezaan yang akhirnya menjadi budaya acuan Malaysia berlandaskan nilai-nilai yang positif.

Persoalannya apakah kaitan peradaban acuan Malaysia dengan penubuhan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)? Walaupun usianya kini 21 tahun, UMPSA telah mampu sebaris dengan universiti awam (UA) yang lain dan bukan sedikit pencapaian UMPSA dalam pelbagai aspek. Usaha penjenamaan (rebranding) yang dilakukan bermula dengan Universiti Teknologi Malaysia Kampus Cawangan Pahang (UTM-KCP) kepada Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM), seterusnya Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan baru-baru ini kepada UMPSA merupakan ‘penjenamaan’ yang bermakna bagi sebuah universiti terulung di Pantai Timur ini. 

Secara amnya, penghijrahan ini sangat kena dengan perumpamaan ‘rakyat dan pemimpin berpisah tiada’. Dalam hal ini, pemerintah menjadi tonggak kepada kemajuan pendidikan di negeri ini. Ini selari dengan perkembangan tamadun Melayu suatu masa dahulu yang mana raja/sultan adalah individu yang bertanggungjawab memperkembangkan ilmu agama kepada rakyatnya apabila istana dijadikan tempat diskusi ilmu khususnya ilmu keagamaan. Justeru, usaha universiti melakukan penjenamaan seumpama ini memperlihatkan UMPSA sebagai universiti yang memperkasakan peradaban silam ke dalam pendidikan hari ini. 

Selain itu, penjenamaan juga telah dilakukan kepada Pusat Kokurikulum yang mana sekarang ia telah dikenali sebagai Akademi Adab dengan slogan ‘Melahirkan Graduan Holistik Berilmu dan Berkemahiran’. Penggunaan perkataan ‘adab’ memperlihatkan UMPSA amat serius untuk mengangkat etika dan adab pelajar melalui kegiatan bukan akademik seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS), Pertahanan Awam dan sebagainya. Penglibatan pelajar daripada pelbagai kaum, keturunan dan agama memberi kesempatan kepada mereka untuk merasai penglibatan secara langsung dalam bidang-bidang yang dianggap hanya diminati oleh sesuatu kaum atau jantina. Amat membanggakan apabila PALAPES dan SUKSIS UMPSA diwarnai oleh penglibatan pelajar berbangsa bukan Melayu seperti Cina, India, dan kaum lain.

 

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkasa peradaban acuan Malaysia

UMPSA juga merupakan institusi yang serius bersama kerajaan dalam menangani rasuah. Baru-baru ini telah diadakan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha memupuk integriti dan kesedaran terhadap isu rasuah dalam kalangan warga universiti. Inisiatif yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini juga bertujuan untuk memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela agar setiap individu akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan tersebut. Ikrar Bebas Rasuah ini memberi penekanan kepada ikrar dan akur janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela agar sentiasa komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta berusaha menjauhi diri daripada perlakuan rasuah. Ikrar tersebut menekankan tanggungjawab melaksanakan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip integriti, termasuklah melaporkan sebarang salah laku yang mencurigakan, mengamalkan kejujuran serta menghindari sebarang bentuk jenayah dan salah guna kuasa dalam apa jua urusan. UMPSA menyambut baik pelaksanaan subjek Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) di institusi ini sebagai salah satu Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) bagi mendidik pelajar agar terhindar daripada rasuah.

 

UMPSA jalin kerjasama dengan MACEE bagi program Fulbright Malaysia
UMPSA jalin kerjasama dengan MACEE bagi program Fulbright Malaysia

Selain itu, UMPSA juga sentiasa mengadakan kerjasama dengan pelbagai institusi bagi memperluaskan kerjasama dalam bidang pendidikan dan kepakaran. Sejak ditubuhkan, universiti ini telah memeterai MOU dengan pelbagai universiti luar negara dan institusi terpilih. UMPSA telah menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) dalam usaha mengukuhkan persefahaman dan menggalakkan pertukaran pendidikan antara kedua-dua negara. 

Penubuhan Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) juga bakal melakar kecemerlangan dalam pembangunan penyelidikan tentang sejarah dan ketamadunan. Diharap penubuhan ITKAS akan mengungguli UA di Pantai Timur yang bukan sahaja memfokuskan kepada teknologi dan kejuruteraan, malahan menyediakan khidmat kepakaran dalam isu-isu yang membabitkan sejarah dan kenegaraan Malaysia dalam pelbagai aspek. UMPSA menerusi ITKAS bakal melaksanakan Kajian Kebolehsanaan Pembinaan Spur Line Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri Pahang hasil kerjasama dengan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang melalui Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Pahang. Pahang merupakan negeri terbesar di Malaysia dan menyimpan banyak sejarah yang belum diterokai. Diharap ITKAS memikul tanggungjawab tersebut untuk menyuburkan dan mengaktifkan semula kerja-kerja penggalian semula kisah-kisah silam yang telah menaikkan Pahang sebagai antara  tamadun Melayu yang unggul di rantau ini. 

UMPSA jalin kerjasama dengan MACEE bagi program Fulbright Malaysia
UMPSA jalin kerjasama dengan MACEE bagi program Fulbright Malaysia

 

UMPSA juga bertanggungjawab dalam memperkayakan ekosistem pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ia adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri. TVET bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu yang diperlukan oleh industri. Justeru, TVET di universiti ini adalah selari dengan agenda TVET tahap tinggi yang digerakkan di seluruh negara. Dalam hal ini, UMPSA berada di landasan yang tepat dalam usaha menghasilkan graduan TVET yang mampu menyumbang terhadap pembangunan negara. Satu anugerah tidak ternilai bagi UMPSA apabila Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan bahawa UMPSA telah mendahului institusi lain dalam pelaksanaan dan perancangan bagi meningkatkan peratusan pelajar yang mengikuti pengajian TVET. Untuk itu, UMPSA telah menerima watikah pelantikan TVET Collaboration Hub dalam bidang Automotif melalui Centre for Automotive Engineering UMPSA yang diiktiraf sebagai hab bidang Automotif sempena Majlis Penutup Minggu TVET Negara 2022 sebagai usaha merealisasikan agenda TVET di negara pada masa ini.

Kejayaan tercipta apabila UMPSA melaksanakan program kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia contohnya, program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman. Ini menjadi penanda aras terbaik kepada universiti-universiti lain di Malaysia. Dalam bidang penyelidikan, UMP banyak memfokuskan kepada penyelidikan gunaan dan projek-projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan dalam dan luar negara. Contoh pencapaian adalah UMPSA terbaik dalam Penyelidikan dan Inovasi apabila menerima Anugerah Malaysia’s Research Star Award 2019 bagi Research and Innovation Excellence (Institution) untuk Non-Research University pada 6 November 2019.

Sepertimana IPT lain, UMPSA menawarkan program untuk pelajar berjaya dalam bidang yang dipilih dengan menyediakan latihan yang profesional dan peluang pembelajaran dalam kelas dan juga di industri. Selain dari menawarkan program prasiswazah, UMP juga telah memperkenalkan program pascasiswazah yang memberikan peluang kepada seluruh masyarakat untuk melanjutkan pengajian secara sepenuh masa atau separuh masa khususnya bagi mereka yang bekerja. Ini merupakan peluang keemasan khususnya kepada penduduk Pantai Timur kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk menyambung pengajian memandangkan UMP juga menyediakan sistem pendidikan setaraf dengan universiti terkemuka yang lain di samping tenaga pengajar yang pakar dalam bidang masing-masing. 

Baru-baru ini iaitu pada 28 Oktober 2021, seramai 12 orang pensyarah UMPSA tersenarai antara dua peratus saintis terbaik di dunia dalam pelbagai bidang dan disiplin. Selain itu, enam subjek iaitu Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan, Sains Tulen (Kimia), dan Sains Tulen (Sains Bahan) tersenarai dalam penarafan QS World University Rankings by Subject 2021.

Secara umumnya, sejak 2018, bukan sedikit kejayaan demi kejayaan yang dilakarkan oleh UMPSA. Antaranya ialah 
1.    UMPSA satu-satunya universiti teknikal yang menerima pengiktirafan antarabangsa dengan pencapaian penarafan lima bintang keseluruhan terbaik 2018 berdasarkan Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating 2018 yang dijalankan pihak QS Intelligence Unit iaitu sebuah organisasi pengauditan universiti melalui QS World Ranking yang berpusat di London. 
2.    UMPSA mencatatkan pencapaian terbaik dalam QS University Ranking Asia: 2019 dengan kedudukan 188 terbaik di Asia.
3.    Tersenarai dalam QS World University Rankings by Subjects 2019 melibatkan subjek Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan; Kejuruteraan Kimia; Kejuruteraan dan Teknologi. 
4.    Pada tahun 2020, UMPSA tersenarai antara universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2020 yang diterbitkan oleh QS Quacquarelli Symonds (QS). 
5.    UMPSA menduduki kelompok 101-150 dalam penarafan 50 universiti muda terbaik dunia 2019 yang disenaraikan dalam QS Top 50 under 50 yang diumumkan oleh agensi penarafan pendidikan tinggi dunia Quacquarelli Symonds (QS). 
6.    UMPSA berada pada kedudukan 301-500 universiti terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan 2020 dalam penarafan QS Graduate Employability 2020 (QS GE).
7.    UMPSA terbaik dalam Penyelidikan dan Inovasi apabila menerima Anugerah Malaysia’s Research Star Award 2019 bagi Research and Innovation Excellence (Institution) untuk Non-Research University pada 6 November 2019.
8.    UMPSA berada di kedudukan 134 terbaik di Asia dalam penarafan QS University Ranking Asia 2020 pada 9 Disember 2019.
9.    UMPSA berada di dalam kelompok 751-800 terbaik dunia selepas tersenarai dalam penilaian QS World University Rankings (QS-WUR) 2021 yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds (10 Jun 2020).
10.    UMPSA tersenarai antara 101-150 universiti berusia di bawah 50 tahun terbaik dunia dalam Penarafan QS Top 50 Under 50 yang diumumkan oleh agensi penarafan pendidikan tinggi dunia, Quacquarelli Symonds (24 Jun 2020).
11.    Produk teknologi UMPSA menang Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia 2020 (MCY 2020).
12.    UMPSA melonjak ke tangga ke-129 QS World University Rankings: Asia yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds bagi tahun 2022.
13.    UMPSA tersenarai di kedudukan 301-400 dan ke-8 di Malaysia dalam penarafan kelestarian Global Time Higher Education (THE Global Impact Ranking) 2022.
14.    Enam subjek U UMPSA  disenaraikan antara terbaik dunia berdasarkan penarafan QS World University Rankings (QSWUR) by Subject 2022.
15.    UMPSA tersenarai dalam QS Stars University Ratings Excellent Award melibatkan Teaching, Internationalisation, Facilities, Innovation, Employability, Research, dan Engineering – Mechanical.
16.    UMPSA berada di kedudukan 781-790 di dunia dalam 2024 Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings. 
17.    UMPSA berada di kedudukan 132 di Asia dan 25 di Asia Tenggara dalam 2023 Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings. 
18.    UMPSA berada di kedudukan 401-450 (Engineering & Technology), 351-400 (Engineering – Mechanical, Aeronautical & Manufacturing), 501-550 (Chemistry), 351-400 (Material Science), 401-450 (Engineering – Electrical & Electronic), dan 651-680 (Computer Sciences & Information Systems) di dunia dalam 2023 QS World University Rankings by Subject. 
19.    UMPSA berada di kedudukan 401-450 di dunia dalam 2023 QS World University Rankings Sustainability. 
20.    UMPSA berada di kedudukan 601-800 di dunia dalam 2024 Times Higher Education (THE) World University Rankings. 
21.    UMPSA berada di kedudukan 201-250 di Asia dalam 2023 Times Higher Education (THE) World University Rankings Asia. 
22.    UMPSA berada di kedudukan 301-400 (Business and Economics), 501-600 (Computer Science), 501-600 (Physical Sciences), 601-800 (Engineering) di dunia dalam 2024 Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject. 
23.    UMPSA berada di kedudukan 301-400 di dunia dalam 2023 Times Higher Education (THE) Impact Rankings.
24.    UMPSA berada di kedudukan 201-250 di dunia dalam 2023 Times Higher Education (THE) Young World University Rankings.
25.    UMPSA berada di kedudukan 103 di dunia dalam     2022 UI Green Metric World University Ranking.
26.    UMPSA berada di kedudukan 992 di dunia dalam 2021/2022 US News and World Report Best Global University Rankings. 

Kewujudan UMPSA telah memberikan ruang dan peluang untuk institusi ini memperkembangkan pendidikan Sains dan Teknologi. Secara amnya, UMPSA telah berperanan memperkasakan peradaban acuan Malaysia abad ini khususnya dari aspek pembangunan teknologi dan kejuruteraan sehingga dikenali oleh dunia luar. 

Dr. Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

E-mel: hasnah@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News