Skip to main content

10 Protege UMPSA dilantik berkhidmat dalam pengurusan

KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2023 - Seramai sepuluh orang alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya terpilih sebagai Protege UMPSA yang akan berkhidmat di universiti dan ditempatkan bersama selama setahun kepada kepada pengurusan universiti tertinggi dan badan-badan korporat. 

Mereka adalah antara yang terpilih daripada 53 orang calon yang memohon.

Seramai 31 telah disenarai pendek sebelum ke peringat akhir yang melayakkan mereka untuk dilantik sebagai Protege UMPSA.

Hadir bagi menyampaikan tauliah lantikan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Hadir sama dalam program itu adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan UMP, Dato' Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Ruslim Mohamed. 

10 Protege UMPSA

Menurut Tan Sri Dato' Sri Dr. Abdul Aziz, manfaatkan tempoh setahun ini sebaik-baiknya, ambillah peluang ini untuk meraih pengalaman dalam pelbagai bidang sepanjang bertugas di UMPSA dan badan-badan korporat. 

“Saya percaya jika peluang ini dapat digunakan sebaiknya, para protege akan lebih kompetitif dan bersedia menempuh alam pekerjaan yang lebih mencabar. 

10 Protege UMPSA

“Mereka ini akan melihat bagaimana untuk membuat keputusan, pemikiran kritikal, berstrategi dan boleh memberi idea baharu dalam pengurusan university.

“Saya juga berharap semua protege dapat mempelajari daripada mentor masing-masing bagaimana untuk menjadi seorang pentadbir yang berkredibiliti terutamanya dalam pengendalian mesyuarat utama dalam menyelesaikan masalah,” ujarnya.

Program Protege UMPSA merupakan program yang anjurkan bagi memberi peluang kepada alumni UMPSA untuk menimba pengalaman bertugas dan bekerja sebagai pegawai kepada Pengurusan UMP selama setahun.

Protege ini akan didedahkan kepada pelbagai aspek kepimpinan universiti dan memberi peluang kepada mereka menjadi sebahagian daripada proses pembangunan sambil mengasah kemahiran kepimpinan mereka di peringkat tertinggi universiti.  

Turut berlangsung majlis apresiasi bagi menghargai pendaki UMPSA yang berjaya dalam Misi Kibar Jalur Gemilang, bendera negeri Pahang dan UMPSA di puncak Kinabalu baru-baru ini. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit