Skip to main content

120 anak staf UMPSA sertai Program Meneroka Matematik

PEKAN, 21 Disember 2023 - Seramai 160 peserta yang terdiri daripada anak-anak staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai Program Meneroka Matematik yang diadakan di kedua-dua kampus selama empat sesi bermula Isnin lalu.

Presiden Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan staf UMPSA (SEJAHTERA), Ts. Dr. Muhamed Nafis Osman Zahid berkata program ini merupakan julung kali diadakan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan UMPSA (Sejahtera) dan Pusat Sains Matematik (PSM) dalam meningkatkan prestasi awal Matematik serta memupuk peserta meminati subjek Matematik melalui aktiviti-aktiviti menarik.

“Saya tidak menyangka yang program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan staf.

“Namun, pada peringkat awal ini penyertaan kami terhadkan kepada 120 orang sahaja bagi empat sesi berdasarkan tahap umur peserta dan lokasi staf di kedua-dua  kampus UMPSA Pekan dan Gambang.

“Penyertaan ini hanya diberikan percuma kepada ahli persatuan Sejahtera UMPSA dan bagi yang bukan ahli pula dikenakan yuran sebanyak RM20 bagi setiap peserta,” katanya. 

120 anak staf UMPSA sertai Program Meneroka Matematik

Tambahnya, program yang bermula seawal jam 8.50 pagi ini diketuai oleh Pensyarah Kanan, PSM merangkap Ketua Koordinator, Dr. Nor Alisa Mohd Damanhuri dan dibantu seramai 36 fasilitator yang terdiri daripada pelajar UMPSA.

“Diharapkan progran ini memberi manfaat kepada semua peserta. 

“Saya juga menyeru agar lebih ramai mendaftar untuk menjadi ahli Persatuan Sejahtera UMPSA kerana menerusi penyertaan, staf akan banyak menerima faedah dan sama-sama untuk meningkatkan kebajikan staf UMPSA,” katanya.

Dr. Nor Alisa Mohd Damanhuri pula berkata, program ini turut mendedahkan kanak-kanak kepada keperluan Matematik di dalam kehidupan. 

“Dalam program ini, di setiap sesi para peserta akan mengikuti empat aktiviti yang dijalankan  iaitu nature walk, maths craft, culinary maths, dan lompat nombor. 

“Kesemua aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk mendedahkan ilmu sukatan isi padu, luas, perimeter, menyusun, membuat carta pai, histogram, gundalan, menambah, pecahan, nisbah, peratusan, membandingkan, menganggar, mengira langkah mengikut rentak musik dan Matematik dalam masakan,” katanya. 

120 anak staf UMPSA sertai Program Meneroka Matematik

Beliau berharap  ilmu dan pengalaman yang diperoleh peserta  dapat dimanfaatkan dan menyemai peserta untuk meminati subjek Matematik.

Manakala menurut salah seorang peserta, Nik Arilyssa Qyhreen Hana Nik Hashimie, 10 berkata, pada awalnya saya takut untuk hadir program ini kerana tiada kawan tetapi akhirnya gembira kerana dapat kawan baharu.

“Saya terus bersemangat untuk menyertai program ini. 

“Aktiviti yang paling menarik ialah ketika aktiviti memasak dan kami perlu menggunakan sukatan yang diberikan.

“Menerusi aktiviti ini, saya lebih faham tentang isi padu dan sebagainya.” katanya.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris