Skip to main content

Gear Up! UMP-MARA program persediaan pelajar masuk IPT

PAYA BESAR, 1 Jun 2022 – Seramai 70 orang peserta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari golongan B40 teruja apabila dapat merasai pengalaman berharga dengan  kehidupan di kampus  menerusi Program Get Ready For Universiti Programme Gear-UP! UMP-MARA yang berlangsung  selama tiga hari bermula 29 Mei hingga 1 Jun 2022 yang lalu. 
 
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah MARA Negeri Pahang, Tuan Haji Soffian Haji Mustafa dalam program yang berlangsung di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang. 

Dalam ucapannya beliau berkata, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta bagi menempuh alam universiti sebelum mereka menempuhinya yang sebenar tidak lama lagi.
 
“Para peserta terpilih ini merupakan peserta lepasan SPM dari golongan B40 yang sedang menanti keputusan untuk kemasukan ke universiti.
 
“Pihak kami mengucapkan terima  kasih kepada UMP atas kerjasama ini dalam menyediakan modul-modul menarik sepanjang peserta berkampung di UMP.

Gear Up! UMP-MARA program persediaan pelajar masuk IPT

“Kemahiran berkomunikasi amat penting bagi setiap individu terutama dalam penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris,” katanya yang turut menyampaikan sijil penyertaan buat peserta.

Beliau juga berharap agar semua peserta dapat mangambil manfaat daripada program ini untuk menempuhi alam universiti dan pekerjaan kelak.
 
Beliau turut menasihatkan pelajar apabila telah berjaya kelak agar tidak lupa untuk menyumbang semula kepada negara terutama dalam membayar semula pembiayaan pendidikan untuk MARA membantu generasi seterusnya.
 
Sementara itu,  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed turut mengucapkan terima kasih kepada pihak MARA atas kepercayaan ini. 

Gear Up! UMP-MARA program persediaan pelajar masuk IPT

Pihaknya mengharapkan lebih banyak peluang kolaborasi dan bekerjasama dalam program akan datang. 

Selain itu, program ini merupakan salah satu sumbangan universiti  untuk membantu pelajar lepasan SPM bijak memilih program yang bersesuaian dengan kelayakan dan minat pelajar.

Turut sama hadir Timbalan Pengarah 2, Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Hasnim Hashim, Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabanga, Hazmin Aris dan Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik merangkap Pengarah Program Gear-UP MARA-UMP, Zainal Haji Bahari.
 
Sebanyak lapan modul yang telah disediakan kepada peserta meliputi kaedah berfikir, keyakinan diri, hala tuju, pengucapan awam, etika berkomunikasi dan lain-lain lagi.
 
Selain itu peserta juga turut dibawa melihat fasiliti di UMP seperti Perpustakaan dan makmal. 
 
Menurut salah seorang peserta, Putri Qarisha Alesya Abdullah,18 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar melahirkan rasa gembira apabila terpilih mengikuti program ini. Sememangnya UMP merupakan pilihan utama untuk menyambung pengajian dalam bidang komputeran. 

Begitu juga dengan Muhamad Luqman Hakim bin Ahmad Nordin, 18, daripada MRSM Kuala Terengganu berkata, selain pengalaman berada di kampus, beliau berpeluang mendapatkan maklumat pembiayaan MARA untuk sambung pengajian dalam dan luar negara. 

Manakala menurut Mohd Nor Haikal Hadenan,18, dari Bera pula merasakan program ini dapat meningkatkan keyakinan diri peserta untuk bercakap dengan rakan-rakan dari sekolah lain terutama dari pelajar MRSM. 

Bagi Muhammad Nur Ikhwan  Baharuddin daripada MRSM Tun Ghafar Baba juga seronok menyertai program selain berpeluang berkongsi pengalaman dengan ‘abang dan kakak’ dari UMP juga rakan baharu yang sama-sama mempunyai impian untuk menyambung pengajian di universiti bagi mengejar  cita-cita masing-masing. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris