Skip to main content

Kekal pencapaian 5 bintang, UMP fokus peningkatan kualiti pendidikan tinggi

PEKAN, 4 Januari 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus memperkukuhkan lagi usaha dalam memajukan dan mengembangkan pendidikan tinggi dengan memberi tumpuan terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.

Pelbagai usaha sedang dibangunkan bagi memfokuskan terhadap peningkatan keupayaan teknikal negara antaranya melalui penawaran program akademik yang dipacu oleh industri bagi melahirkan graduan yang holistik.

Bagi penilaian QS Stars University Ratings 2022 yang dinilai oleh Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating, UMP berjaya mengekalkan pencapaian 5 bintang berdasarkan pencapaian secara keseluruhan sehingga 18 Januari 2025.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, tumpuan universiti juga diberikan kepada jalinan kerjasama antara UMP dan industri dalam dan luar negara bagi meningkatkan lagi keupayaan teknikal kedua-dua pihak.

“UMP telah berjaya memperoleh lima bintang bagi lapan kategori iaitu pengajaran, kebolehpasaran pekerjaan, pengantarabangsaan, penyelidikan, kemudahan, kekuatan program akademik (Kejuruteraan Mekanikal), inovasi dan inklusif (keterangkuman).

“Bagi mencapai hasrat ini, universiti telah merangka Pelan Strategik UMP 2021-2025 dengan memfokuskan elemen penerokaan pengetahuan baharu melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi, pengantarabangsaan dan keusahawanan graduan dalam bidang berkaitan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di peringkat global.

“Turut diberi perhatian ialah elemen kelestarian kewangan universiti dan pemantapan kecemerlangan ekosistem universiti termasuklah usaha ke arah menjadikan UMP kampus pintar dan lestari yang bakal memanfaatkan lebih 12,000 orang pelajar universiti ini,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan terima kasih buat warga universiti dan mengharapkan semoga usaha berterusan ini akan terus menjadikan UMP sebagai antara yang terbaik dalam memainkan peranan penting untuk meningkatkan keupayaan teknikal negara.

UMP kini juga berada di landasan terbaik berada di tangga ke-129 terbaik di Asia dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2022 yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit