Skip to main content

Keperibadian Unggul dan Kelestarian Hikmah UMPSA sasar 6 iltizam, 20 inisiatif

GAMBANG, 16 Februari 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mempunyai  kapasiti  dari  sudut sumber, bakat dan kepakaran yang membolehkan universiti  merealisasikan visi dan misinya. 

Demi mencapai visi penting ini, UMPSA telah menetapkan enam iltizam, 20 inisiatif dan 37 strategi yang akan menjadi kompas pergerakan bagi mencapai keberhasilan universiti pada tahun 2024 ini. 

Enam iltizam iaitu 2K 4M ialah Iltizam Pertama iaitu Keunggulan Akademia dan Kemampanan Pengurusan, Iltizam Kedua Keunggulan Mahasiswa Rentas, Iltizam Ketiga Melestarikan Program Akademik dan Iltizam Keempat Merekayasa TVET Termaju. Iltizam Kelima: Melestarikan Citra Ilmu dan Iltizam Keenam: Melestarikan Ekosistem Kondusif. 

Amanat12

Dengan mengangkat tema ‘Keperibadian Unggul’ ia mencerminkan keupayaan kompetensi dan ilmu melibatkan warga UMPSA iaitu staf dan juga pelajar. 

Ini  boleh dihayati melalui prinsip nilai teras UMPSA iaitu pertama, Hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta; kedua, Teguh dalam mempertahankan prinsip yang disepakati dan ketiga, Kreatif dalam membuat keputusan yang bijaksana. 

Manakala keempat, Cekal dalam menghadapi cabaran dan kelima, Proaktif dalam tindakan.

Malahan dengan pendekatan berhikmah sesuai diguna pakai untuk menguruskan apa-apa urusan, bila-bila masa, mana-mana tempat dan di dalam apa-apa situasi.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainudin, dalam Merekayasa TVET Termaju, UMPSA perlu berupaya membezakan penawaran kursus TVET di UMPSA berbanding politeknik dan kolej komuniti. 

Amanat1

“Frasa TVET Termaju itu sendiri mencerminkan perbezaan yang jelas yang merangkumi aspek kemasukan, program pengajian, fasiliti dan penghasilan bakat.

“Justeru, terdapat lima strategi bagi  peningkatan enrolmen pelajar aliran TVET di UMPSA di dalam Program Perdana dan Program Sepanjang Hayat (PSH) iaitu Peluasan akses kemasukan pelajar, Kerjasama strategik MTUN, Program fleksibel, Perluasan kampus dan Penjanaan pendidikan TVET,” katanya. 

Selain itu, terdapat empat usaha UMPSA ke arah menghasilkan tenaga kerja mahir tersedia industri ini iaitu TVET Digital, Industrial Teaching Factory, Program TVET terpacu industri dan Penambahbaikan polisi KPT dengan Kementerian Sumber Manusia. 

Beliau berkata demikian şemasa menyampaikan Amanat Naib Canselor UMPSA 2024 di hadapan 1,000 staf dan pelajar UMPSA yang berlangsung di Dewan Astaka UMPSA Kampus Gambang. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),  Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor  (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan barışan pengurusan universiti. 

Turut berlangsung pelancaran buku mewah ‘UMPSA Terbang Tinggi, Melestarikan Kecemerlangan’ yang menghimpunkan sorotan kejayaan dan pencapaian UMPSA sepanjang 22 tahun penubuhannya yang diadun dan diolah dengan penceritaan secara bergambar bagi merakam peristiwa penting üniversiti. 

Pada masa yang sama, seramai 58 staf menerima sijil penghargaan Sanjungan Budi sempena meraikan staf yang telah berkhidmat selama 20 tahun bersama UMPSA.

Di samping itu juga, Naib Canselor turut menerima statut perlembagaan yang diserahkan oleh Penasihat Undang-undang, Marlina Mamat.

Turut diadakan pelancaran applikasi e-comm UMPSA. 

Dalam masa yang sama, Naib Canselor UMPSA turut menyampaikan penghargaan buat pasukan data penarafan dalam dan luar Negara yang menyumbang terhadap pencapaian serta pengiktirafan universiti. 

Majlis diakhiri dengan simbolik pemotongan pulut kuning sempena meraikan ulang tahun UMPSA yang ke-22 tahun pada 16 Februari 2024.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris