Skip to main content
Kunjungan Hormat delegasi UMP bertemu Ketua Polis Negara

Kunjungan Hormat delegasi UMP bertemu Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR, 22 Mac 2021 – Buat julung kalinya, delegasi dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang diketuai oleh Naib Canselornya, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff telah mengadakan kunjungan hormat di pejabat Ketua Polis Negara (KPN), YDH Tan Sri Dato’ Seri Abd Hamid Bador.
Kunjungan hormat ini adalah bagi memberi peluang kerjasama dan hubungan baik universiti dalam program akademik dengan menawarkan pengajian secara sepenuh masa atau separuh masa kepada para pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khususnya dalam bidang keselamatan siber yang semakin mencabar pada masa kini.
Turut dibincangkan ialah berkaitan hasil penyelidikan UMP yang dinamakan e-Nose@e-Anfun iaitu salah satu kaedah yang boleh dijadikan alat pengukuran bau selain alat-alat lain yang ada dalam senarai teknologi terkini.
Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, kajian ini telah berjaya mendapat kerjasama dengan beberapa rakan kerjasama seperti Sime Darby Oil Nonthaburi, Thailand dan industri minyak wangi. 
“Kajian ini juga sesuai digunakan oleh pihak PDRM terutamanya dalam bidang forensik dan narkotik.
“Penyelidikan yang dihasilkan oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Bioaromatik, Profesor Madya Dr. Saiful Nizam Tajuddin ini berjaya mencipta satu alat bukan sahaja untuk mengesan bau malahan turut mempunyai data bau yang boleh disimpan dan direkodkan,” katanya.
Turut hadir dalam perbincangan ini ialah Pengarah Pengurusan PDRM, YDH CP Dato’ Ramli Haji Din, Timbalan Pengarah Logistik dan Teknologi, YDH DCP Dato’ Shukri Abdullah, Setiausaha Polis Negara, YDH DCP Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf dan Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran), YDH SAC Ruslan Khalid.
Hadir sama ialah Dekan Fakulti Komputeran (FK), Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin, wakil pembangun Program Master Eksekutif Teknologi Keselamatan Siber, Dr. Shifak Izhar Hisham dan Pengurus Kanan, Jabatan Hal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Abd Rahman Haji Safie.

Oleh: Abd. Rahman Haji Safie, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA)
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News