Skip to main content

Lebih 3,000 pek makanan ‘Kasih Sayang’ diagihkan kepada pelajar

PEKAN, 29 Jun 2021 – Lebih 3,000 pek makanan ‘Kasih Sayang’ telah diagihkan kepada pelajar hasil kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Yayasan UMP dan Food Bank Malaysia. 

Ia juga merupakan hasil usaha sama daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan  Sekretariat Food Bank yang menyelaras bantuan Food Bank Siswa bagi membantu  pelajar B40, asnaf, fakir miskin dan berkeperluan sekali gus menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi pelajar supaya mereka lebih fokus terhadap sesi pembelajaran di kampus.

Selain bantuan pek makanan, JHEP sentiasa berusaha memberikan bantuan termasuklah barang keperluan penjagaan diri bagi pelajar yang tinggal di dalam kampus.

Menurut Dekan Perkhidmatan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr. Mansor Sulaiman, bermula tempoh isolasi sehingga kini, UMP sentiasa prihatin dengan situasi pelajar yang tinggal di dalam kampus.

Lebih 3,000 pek makanan ‘Kasih Sayang’ diagihkan kepada pelajar

“Pada awalnya, bantuan diberikan kepada  pelajar yang menjalani tempoh isolasi setelah kembali ke kampus sebagai prosedur operasi standard selama 14 hari dalam usaha memutuskan  rantaian Covid-19.

Lebih 3,000 pek makanan ‘Kasih Sayang’ diagihkan kepada pelajar

“Namun, sepanjang tempoh itu pelajar bukan sahaja menerima sumbangan makanan kering tetapi mereka juga diberikan sarapan pagi, makanan tengah hari dan minum petang. 

“Sememangnya diakui ia melibatkan kos yang tinggi bukan sahaja menggunakan dana kebajikan pelajar tetapi juga sumbangan daripada pelbagai pihak,” katanya. 

Beliau mengucapkan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sama ada dari segi sumbangan wang atau pun barang keperluan antaranya seperti Yayasan UMP, Yayasan Food Bank Malaysia, syarikat dan individu persendirian.

Lebih 3,000 pek makanan ‘Kasih Sayang’ diagihkan kepada pelajar

Malah, terdapat juga bantuan Kupon Makan Kasih sebanyak RM7 sehari untuk pelajar yang sangat memerlukan.

“Mereka hanya perlu menghubungi pengetua atau felo di residen pelajar masing-masing.

“Pihak universiti juga sentiasa memantau semua pelajar ini agar berada dalam keadaan yang baik dan selesa. 

“Semua aktiviti pelajar sepanjang tempoh ini dikawal selia oleh pelbagai pihak menerusi Mesyuarat Pengurusan Pelajar yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin,” katanya.

Usaha ini pastinya memberikan kelegaan buat pelajar seperti yang dikongsikan oleh Kong Heng Leong atau lebih dikenali sebagai Edward yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Luar Kampus Gambang, Jabatan Perkhidmatan Mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2020/2021.

Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) ini amat gembira apabila dapat bersama–sama turun padang membantu universiti dalam urusan pengagihan sumbangan kepada rakan-rakan pelajar. 

Baginya, ia merupakan pengalaman yang amat berharga bersama sukarelawan lain yang tanpa jemu dan lelah untuk terus membantu pihak JHEP.

Pada masa yang sama, beliau dapat menyaksikan keriangan rakan-rakan yang menerima sumbangan walaupun kadangkala sumbangan itu sekecil mana pun ia mampu mengukir senyuman buat mereka.

Baginya, aktiviti bantuan ini sangat baik dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa bukan hanya tertumpu kepada keperluan ketika isolasi PKP sahaja bahkan perlu diteruskan sepanjang pengajian kerana masih ramai mahasiswa yang memerlukan bantuan dan sokongan dari segi barangan keperluan, perbelanjaan serta sokongan dari segi psikologi

Antara cabaran yang dihadapi pelajar sepanjang pengurusan bantuan ini adalah permintaan melebihi jumlah sumbangan yang diterima dan pengagihan bantuan makanan telah dilakukan secara bersasar kepada golongan pelajar yang amat memerlukan. 

Sehingga kini, terdapat lebih ,2000 pelajar  menerima manfaat termasuk yang berada di dalam dan luar kampus.

Justeru, beliau menyeru masyarakat setempat, badan korporat dan individu untuk menyumbang  melalui saluran Yayasan UMP. 

Sebarang sumbangan bolehlah salurkan sumbangan menerusi  Akaun Malayan Banking Berhad (Maybank) Yayasan UMP: 556235317085 atau boleh terus ke pautan portal: https://bit.ly/3fefRZw.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris