Skip to main content

Melestari Keberdayaan Program Pendidikan TVET Aras Tinggi

PAKA, 18 Julai 2023 - Persepsi terhadap program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai kelas kedua haruslah dihentikan demi menjamin kelestarian program TVET yang ditawarkan di negara ini, terutamanya TVET aras tinggi terus menjadi pilihan utama pelajar setelah mereka menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah.
 
Sejajar dengan pengumuman oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) baru-baru ini yang menyasarkan kenaikan gaji minimum bagi lepasan pelajar TVET daripada RM1,500 kepada RM2,000 telah membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha memperkasakan program TVET terutama aras tinggi bagi memastikan negara tidak ketandusan tenaga kerja mahir. 

Ini sekali gus boleh mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.
 
Program TVET yang ditawarkan di negara ini bukan sahaja mengajar kursus-kursus konvensional malah turut menentukan elemen Revolusi Industri (IR 4.0) yang selari dengan kehendak industri semasa. 

Ia sekali gus menjadikan graduan TVET ini seorang yang kompeten dan tersedia untuk digunapakai oleh pemain industri. 

Melestari Keberdayaan Program Pendidikan TVET Aras Tinggi

Transformasi ke arah IR 4.0 juga membuktikan usaha komited kerajaan dalam memberi keberdayaan kepada usaha program TVET negara.
 
Namun, segala usaha kerajaan ini perlu diterjemahkan dengan kerjasama lestari daripada pihak industri sendiri bagi memastikan kurikulum dan kebolehpasaran graduan lebih terjamin dan bertepatan dengan kehendak industri semasa.
 
Menurut Ketua Program Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas (BVF) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ts. Dr. Nurul Saa`adah Sulaiman, kerjasama dan kolaborasi di antara pemain industri dan universiti amatlah penting bagi memastikan para pelajar yang akan bergraduat nanti akan mendapat pekerjaan.
 
“Manakala pemain industri dapat mengguna pakai tenaga mereka secara terus tanpa perlu mengikuti sesi praktikal atau ‘on-job training’ yang mengambil masa yang lama.
 
“Inisiatif tenaga pengajar di universiti membawa para pelajar ke industri juga akan turut membuka peluang kepada mereka untuk melihat sendiri fasiliti dan peralatan yang diguna pakai di industri, yang mungkin berbeza dan tidak pernah dilihat oleh para pelajar sendiri,” ujurnya ketika ditanya sewaktu lawatan pelajar seramai 20 orang yang berkunjung ke fasiliti Petronas Chemical Ethylene (PCE) Sdn. Bhd. di Paka, Terengganu baru-baru ini.
 
Selain itu juga katanya, pihak industri juga akan mengenali institusi TVET yang boleh menjadi penyumbang tenaga kerja mahir kepada mereka yang mungkin turut membantu dalam meningkatkan lagi kualiti pendidikan TVET negara.
 
Dalam program itu, para pelajar turut berpeluang melawat SIRIM Standards Technology Sdn. Bhd. Kuantan.
 
Sementara itu, bagi Dzainur Redha pelajar tahun 2 program BVF berpendapat, peluang ini membolehkan pelajar melihat sendiri keadaan sebenar berbanding sebelum ini hanya melihat model di dalam kertas sahaja.
 
“Peluang untuk melawat dan menerima latihan secara praktikal di industri ini amatlah penting untuk pelajar memahami apa yang dipelajari dengan lebih baik.
 
“Sesi lawatan ini juga menjadi penguat dan pemangkin kepada aktiviti pembelajaran di dalam kelas melalui jemputan pihak industri untuk memberikan ceramah mahupun mengajar sebahagian daripada silibus kurikulum sedia ada,” katanya.
 
Pihak industri turut menerima manfaat kerjasama memandangkan mereka lebih tahu keperluan tenaga kerja mereka sendiri yang dapat diterjemahkan dengan penyediaan kurikulum program yang sesuai dan mengikut acuan mereka.
 
Ini sekali gus akan memberikan suasana menang-menang kepada kedua-dua pihak sama ada industri mahupun intitusi TVET itu sendiri. Selain itu, dapat memperkukuh dan mengemaskan lagi ekosistem pembelajaran TVET negara.
 
Selain itu, inisiatif Kelas Global (Global Classroom) oleh pihak UMP juga dilihat dapat meningkatkan kemahiran berbahasa asing buat para pelajar aliran TVET yang dilihat kurang kompeten dalam berkomunikasi. 

Usaha ini amat bertepatan dengan hasrat Pendidikan TVET aras tinggi itu sendiri yang ingin melahirkan graduan yang kompeten dan berketerampilan.
 
Aktiviti pembelajaran teknikal ini perlulah sejajar dan selari dengan kehendak semasa agar kemahiran dan ilmu yang disampaikan itu benar-benar berkesan dan berimpak tinggi.
 
UMP merupakan salah satu institusi TVET dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Disediakan oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News