Skip to main content

Penerbit UMP, KRU Entertaiment jalin kerjasama penerbitan buku audio dan e-dagang

PEKAN, 16 November 2021 - Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan KRU Entertainment baru-baru ini menjalinkan kolaborasi strategik yang melibatkan segmen penerbitan buku audio, pembangunan kandungan kreatif, studio pelbagai guna, latihan media sosial, pembangunan kompetensi digital dan kerjasama e-dagang. 

Penyerahan Surat Niat tersebut dimeterai antara KRU Entertainment yang diwakili oleh Ketua Pemasaran Kumpulan KRU, Noor Hafeez Hashim dan Pengarah Kumpulan Kreatif merangkap Ketua Prodigital Lab KRU, Razif Kasmar, manakala Penerbit UMP pula diwakili oleh Pengarahnya, Muhammad Azli Shukri.

Turut hadir beberapa wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ) daripada Jabatan Pendaftar, Pusat Keusahawanan, UMP Advanced Education, Jabatan Hal-Ehwal Pelajar (JHEP) dan Perpustakaan UMP yang hadir untuk meneroka peluang kerjasama strategik dengan Kumpulan Syarikat KRU.

Menurut Pengarah Penerbit UMP, kolaborasi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memperkukuhkan produk Penerbit UMP melalui nilai tambah pendigitalan, meningkatkan kompetensi digital dalam kalangan staf di samping meneroka sumber penjanaan baharu dalam industri kreatif dan pembangunan kandungan.

Manakala menurut Noor Hafeez, inisiatif Penerbit UMP untuk bekerjasama dengan pihaknya merupakan langkah yang tepat.

“Saya yakin kerjasama ini mampu untuk meningkatkan visibility produk Penerbit UMP dalam era digital sekali gus mengukuhkan jenama UMP di persada antarabangsa,” ujarnya. 

Sesi dialog dan soal jawab yang membabitkan pelbagai aspek kerjasama yang merangkumi program kesukarelawan, kepimpinan, keusahawanan, pendigitalan dan perdagangan elektronik itu turut diadakan yang berlangsung di di Executive Lounge Perpustakaan UMP Pekan. 

Disediakan oleh: Muhammad Azli Shukri, Penerbit UMP

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News