Skip to main content

Program Ulul Albab UMP bakal lahirkan huffaz profesional

PAYA BESAR, 2 Disember 2021 - Sejak kecil lagi, Zulfa Kurnia Umani Hari, 23, sudah menunjukkan kecenderungan terhadap dunia al-Quran apabila gemar menghafaz surah-surah sejak kecil lagi. 

Zulfa yang kini mengikuti pengajian  dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersyukur apabila berpeluang meneruskan minatnya ini dengan mengikuti program Ulul Albab UMP.
 
Lebih membanggakan apabila beliau  berjaya menghabiskan lima juzuk dalam Program Prasyahadah al-Quran bagi kategori komuniti anjuran Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dengan kerjasama Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) baru-baru ini.
 
Anak kepada pasangan Hari Iskak dan Umaidah Imam Nawawi itu memanjatkan kesyukuran apabila berjaya menghabiskan lima juzuk al-Quran dalam tempoh masa yang ditetapkan.
 
Ujarnya, kesibukan mengikuti pengajian dalam bidang kimia bukan halangan buatnya untuk menghafal ayat suci al-Quran. 

Beliau turut berkongsi pengalamannya dalam menyertai Program Prasyahadah Al-Quran tersebut.
 
Jelasnya, sebagai persediaan sebelum peperiksaan prasyahadah yang diberi tempoh dua bulan bagi menghafal juzuk 1 hingga juzuk 5. 

“Dalam tempoh itu, peserta juga perlu mengulang dan melancarkan hafazan sehingga selesai.
 
“Program Ulul Albab UMP sangat memberi manfaat dan membantu saya dan rakan-rakan lain yang berhasrat menghafaz al-Quran.
 
“Saya bersyukur apabila UMP turut menawarkan Pengajian Tahfiz di UMP menerusi Program Pensijilan Ulul Albab UMP. 

“Saya mula menyertai Program Pensijilan Ulul Albab sejak pengajian di peringkat diploma pada tahun 2018,” katanya yang berasal dari Gombak.
  
Tambahnya lagi, setelah tamat pengajian di peringkat diploma beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat ijazah dan dalam masa yang sama turut menyambung dalam program Ulul Albab UMP.  

“Insya-Allah, kini saya akan menghafaz juzuk ke-14,” ujarnya.
 
Beliau turut berkongsi tip bagi mudah menghafal iaitu dengan kaedah ulangan dan tadabbur terjemahan ayat al-Quran. 

Katanya, daripada kaedah tersebut ia sangat membantu dalam proses hafazan.
 
“Selain itu juga, saya akan menulis ayat-ayat yang sukar untuk dihafal atau Muraja’ah. 

“Dengan kaedah menyalin semula ini juga dapat membantu untuk mengingati dan menghafaz ayat tersebut.
 
“Kebiasaannya saya menghafaz pada waktu Subuh dan selepas Maghrib hingga Isyak ketika selesai tugasan kelas akademik,” katanya.

Tambahnya, bagi mengekalkan ingatan dalam hafazan beliau juga mengurangkan pengambilan makanan segera dan makanan yang terlalu masam serta minuman berkarbonat.
 
Ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah dalam bidang kejuruteraan Kimia, kita perlu tekad menghafaz al-Quran kerana untuk mencari reda Allah SWT.
 
“Insya-Allah semua bidang yang kita ceburi Allah akan berkati dan permudahkan,” ujar Zulfa yang merupakan anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini.
 
“Pelajar daripada aliran tahfiz tidak perlu gusar untuk meneruskan pengajian akademik di UMP memandangkan mereka juga boleh meneruskan hasrat menghafal surah-surah al-Quran di sepanjang pengajian,’ ujarnya. 
 
Malahan pelajar lain yang berminat juga boleh turut sama berpeluang mengikuti Program Pensijilan Ulul Albab hasil kerjasama UMP dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) bagi melahirkan golongan profesional, teknokrat dan usahawan hafiz yang memiliki pelbagai kemahiran ilmu.
 
Kerjasama strategik ini juga akan memberikan pengiktirafan kepada mereka yang telah berjaya menghafaz sebanyak lima juzuk hingga 30 juzuk selain boleh dijadikan nilai tambah kepada mereka apabila bergraduasi kelak. 

Generasi ulul albab ini juga mampu membangunkan negara secara seimbang dan huffaz profesional yang berkepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris