Skip to main content

Program Ziarah Prihatin UMPSA hulur bakti buat masyarakat Tuaran

TUARAN, 1 Mac 2024 - Prihatin dengan nasib sebahagian keluarga yang dihimpit kesusahan, barisan pengurusan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkunjung ke lima buah rumah keluarga di sekitar Kampung Roun, Serusup, Selupoh dan rumah keluarga angkat pelajar di Kampung Batangan dalam Program Ziarah Prihatin UMPSA@Rumah Baiti Jannati sempena Program Kembara Prihatin@Negeri di bawah Bayu 2.0. 

Begitu juga dengan penduduk di situ, mereka berpeluang menikmati manfaat daripada Program Teknologi yang dilaksanakan di Kampung Roun, Kampung Kiwatu dan Kampung Batangan dengan pemasangan solar bagi meningkatkan taraf kelangsungan hidup penduduk untuk kegunaan harian. 

Bagi Affendi Adak, 25, beliau menyifatkan kehadiran Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin di kediamannya membuktikan keprihatinan universiti dan cakna dengan nasib masyarakat.

affendi andak

Ujarnya, bantuan yang diberikan akan dimanfaatkan dengan sebaiknya. 

Beliau yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik dan dua daripadanya berkelainan upaya (OKU) sangat teruja apabila rumahnya kini terang dan tinggal dengan lebih selesa. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, dalam program ini, Yayasan UMPSA dan rakan kerjasama, Samaiden & Mr. Solar memasang enam unit panel solar, 100m kabel DC dan empat biji bateri VRLA 12V, 120aH untuk projek yang dilaksanakan dalam kluster teknologi yang menfaat buat rumah penduduk, masjid, balai raya dan berhampiran tanah perkuburan. 

“Projek ini diketuai oleh Jurutera Kanan/Pengurus Tenaga di UMPSA, Ts. Haji Mohd Nurul Akla Mohd Azlan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tenaga solar. 

Program Ziarah Prihatin UMPSA hulur bakti buat masyarakat Tuaran

“Tenaga Solar ini akan membuka mata penduduk kampung berkenaan tenaga boleh diperbaharui yang semakin berkembang untuk memberikan alternatif bersih kepada sumber tenaga konvensional.

“Malahan, sumbangan panel solar ini akan digunakan untuk projek lampu dan portable charger yang akan dimanfaatkan oleh masyarakat kampung Batangan dan juga Kampung Kiwatu/Roun,” katanya. 

Beliau yang hadir menyampaikan sumbangan kit makanan dan wang tunai kepada keluarga di sini amat menghargai sumbangan pihak Samaiden atas keprihatinan dan sokongan terhadap komuniti Tuaran, Sabah.

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat 
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta