Skip to main content

Sesi akademik bakal bermula, pelajar UMP teruja kembali ke kampus

PEKAN, 5 Oktober 2021 - Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan kembali ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober hadapan berikutan Pengumuman Pengoperasian Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) oleh Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad baru-baru ini.

Pelajar UMP memberikan reaksi positif dan teruja untuk kembali mengikuti pengajian di kampus. Memahami kemungkinan situasi berbeza dengan norma baharu dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di kampus, menurut Agha Khilfi Suarno, 23 yang merupakan Setiausaha Jabatan Pembangunan Mahasiswa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), beliau bersama rakan-rakan UMP menyambut baik saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membenarkan pelajar pulang secara berperingkat.

Ujarnya, pastinya ini berita gembira bagi pelajar yang berkeperluan khas termasuklah pelajar yang perlu menyiapkan tugasan di makmal dan pelajar yang mempunyai masalah internet.
 

Sesi akademik bakal bermula, pelajar UMP teruja kembali ke kampus

“Secara tidak langsung ia dapat melancarkan perjalanan akademik seperti yang dirancang.

“Pada masa yang sama, ia sememangnya saat yang dinanti bagi pelajar tahun 2 yang masih belum pernah menjejakkan kaki ke kampus dan merasai suasana di kampus serta pastinya ada yang merindui campus life bersama rakan-rakan.

“Saya yakin terdapat segelintir pelajar berdepan cabaran dalam sesi pembelajaran di rumah terutamanya gangguan internet, kawasan kejiranan yang mungkin sedikit bising dan kurang fokus semasa kelas sedang berjalan selain tanggungjawab lain ketika di rumah,” katanya.  

Menurut Kong Heng Leong, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Industri, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) pula berpandangan, arahan pulang ke kampus ini tidak boleh dilakukan selagi pelajar masih belum lengkap vaksinasi serta selesai tempoh inkubasi 14 hari selepas menerima dos kedua.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Luar Kampus di Gambang percaya pastinya ramai ibu bapa risau dengan keadaan anak-anak yang akan pulang ke kampus memandangkan mereka akan terdedah kepada risiko kebolehjangkitan dalam kalangan pelajar.

Justeru, beliau mengingatkan rakan-rakannya yang akan kembali ke kampus nanti agar sentiasa mematuhi peraturan dan SOP kembali ke kampus.

“Hanya pelajar yang mempunyai Surat Kebenaran Masuk Kampus dan nama mereka yang tersenarai di dalam Sistem Kembali ke Kampus sahaja dibenarkan kembali ke kampus.

“Pelajar juga perlu hadir ke kampus mengikut slot masa yang dipilih bagi memastikan proses berjalan lancar,” katanya.

Manakala bagi Saidatul Marsyitah Aisyah Suhaime, 21, pula yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Aduan Perkhidmatan MPP UMP, beliau gembira apabila rakan-rakannya akan kembali ke kampus.

Beliau sebelum ini memilih untuk tinggal di kampus sepanjang cuti semester bagi memberi fokus kepada pembelajaran dalam semester pendek.

Ujarnya memang ada rasa rindu untuk bertemu keluarga, namun beliau rasa berbaloi untuk berkorban sedikit masa demi menyiapkan tugasannya.

“Di kampus kami dapat berbincang mengenai pelajaran, tambahan pula saya mengambil jurusan dual ijazah dan mata pelajaran kejuruteraan perlu dipelajari di dalam bahasa Jerman,” katanya yang tidak sabar untuk memulakan sesi pengkuliahan.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP mengingatkan hanya pelajar yang lengkap vaksinasi sahaja akan kembali ke kampus secara berperingkat.

“Dijangkakan seramai 5,000 orang pelajar berkeperluan dengan beberapa kategori pelajar akan dibenarkan kembali ke universiti secara fizikal bagi menjalani aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid (dalam talian dan bersemuka) mulai 11 Oktober ini bagi memulakan sesi pengajian semester baharu.

“Pihak universiti sentiasa berusaha untuk mewujudkan gelembung kampus dalam memastikan kampus yang selamat dan warga universiti mencapai imuniti kelompok agar penularan wabak COVID-19 dapat dibendung.

“UMP juga turut merangka pendekatan strategik bagi mengurangkan kemasukan jangkitan COVID-19 dari luar kampus dan mengehadkan penyebaran wabak apabila terdapat jangkitan di dalam kampus,” ujarnya.

Pada masa ini, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Bahagian Keselamatan (BKES) kini sedang membuat persiapan akhir dalam memastikan pergerakan pelajar masuk kampus berjalan dengan lancar.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris