Skip to main content

Teruja sambut kemerdekaan kontinjen UMP juara perbarisan IPT

PEKAN, 31 Ogos 2022 – Teruja dan bangga apabila kontinjen Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang disertai seramai 32 staf dalam perbarisan sempena Hari Kebangsaan 2022 peringkat Daerah Pekan dinobatkan pemenang tempat pertama kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam pertandingan Perbarisan Hari Kebangsaan 2022 peringkat Daerah Pekan baru-baru ini.
 
Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli kepada Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMP, Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
 
Kemenangan ini membolehkan kontinjen UMP yang diketuai oleh staf bahagian Keselamatan Hairulazam Haron membawa pulang hadiah berupa sijil, trofi dan wang tunai.
 
Bagi Saiful Bahri, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada semua peserta atas kesungguhan dalam menjayakan program ini apatah lagi sejak dua tahun tiada sambutan sempena Hari Kebangsaan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Teruja sambut kemerdekaan kontinjen UMP juara perbarisan IPT

 
Beliau mengharapkan sumbangan warga kerja dan usaha ini dapat diteruskan  selaras dengan hasrat dalam memasyarakatkan universiti.  
 
Manakala bagi ketua kontinjen, Hairulazam pula berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya  sokongan pihak pengurusan universiti yang dari segi penyediaan pakaian untuk perbarisan dan lain-lain.
 
“Saya sendiri akui, dengan kekangan tugas setiap staf yang menyertai pastinya sukar untuk mengadakan latihan yang lebih kerap. 

“Kami hanya sempat melakukan latihan sekali sahaja, itu pun semasa sesi raptai. 

Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, kami berjaya meraih johan dalam pertandingan ini,” katanya.
 
Ujarnya, pengorbanan para peserta untuk bangun awal dan memastikan dapat sampai awal di dataran amat berbaloi. 

Mereka bukan sahaja teruja dapat menyertai perbarisan malahan beroleh kemenangan ini.
 
Sambutan Hari kemerdekaan peringkat daerah Pekan ini telah dihadiri lebih 1,000 pengunjung yang kebanyakannya teruja untuk sama-sama menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-65 yang dinanti pada tanggal 31 Ogos setiap tahun. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris