Skip to main content

UMP dan Institusi Jerman jalin kerjasama lonjak pendidikan TVET aras tinggi

Jerman, 17 Oktober- Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar (ACES) Wilayah Ekonomi Pantai Timur bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang berkaitan Revolusi Industri (IR 4.0), teknologi pintar dan inisiatif digital membabitkan aktiviti pembangunan sumber manusia di Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan juga Asia Tenggara.

ACES merupakan pusat usaha sama antara  ECERDC dan TUM International GmbH Jerman dalam menghubungkan agensi kerajaan dan pihak industri serta universiti dalam meningkatkan kemahiran, latihan teknologi pintar dan perundingan terutamanya  berkaitan IR 4.0 dalam pendigitalan dan automasi.  

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Prof. Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekuti Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif TUM International GMBH Jerman, Daniel Gottschald. Hadir sama menyaksikan majlis Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik yang dalam rangka lawatan rasmi ke Jerman.

“Kerjasama ini dapat memanfaatkan UMP dalam berkongsi kepakaran bagi menepati keperluan industri pada masa depan termasuk beberapa projek yang akan dilaksanakan terutamanya berkaitan produk pengkomersilan, program eksekutif 4.0 dan program latihan teknikal dan vokasional,” ujar Prof. Ir Dr Wan Azhar.

Bersempena kunjungan rasmi delegasi UMP ke Jerman ini juga menyaksikan UMP menjalinkan kerjasama dengan pihak institusi Jerman, Karlsruhe University of Applied Science (HsKA), Jerman dan The Knowledge Foundation@ Reutlingen University Germany (KFRU). Mewakili HsKA adalah Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Mekatronik, Prof. Dr. Robert Weis manakala pihak KFRU diwakili Prof. Ing. Dr. Daniel Palm.

Program ini adalah hasil kesinambungan daripada program dwiijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik yang kini diperluas dengan penawaran program baharu bagi dwiijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan automotif. Ianya bakal memanfaatkan masyarakat di negara ini dalam  mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman yang bercorak Fachhochschule ke dalam sistem pendidikan kejuruteraan di universiti ini.

Keberkesanan sistem ini dalam melahirkan graduan kejuruteraan yang kompeten di Jerman dilihat sebagai model terbaik universiti ini dalam menerajui pendidikan kejuruteraan yang sesuai sebagai salah satu daripada empat buah Universiti Awam (UA) dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri