Skip to main content

UMP diiktiraf Universiti Terbaik Penyelidikan dan Inovasi

Putrajaya, 6 November- Universiti Malaysia Pahang (UMP) dinobatkan universiti terbaik dalam penyelidikan dan inovasi apabila menerima anugerah Malaysia’s Research Star Award 2019 bagi Research and Innovation Excellence (Institution) untuk Non-Research University manakala  Universiti Malaya (UM) dinobatkan universiti terbaik penyelidikan dan inovasi untuk  Research University. 

Hadir menerima anugerah Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dalam majlis di Zenith Hotel Putrajaya malam tadi. Anugerah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Dr Mohd. Gazali Abas yang hadir mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagi merasmikan Anugerah Malaysia’s Research Star Award dan Pengiktirafan Jurnal CRÈME 2019 anjuran KPM dengan kerjasama Clarivate Analytics dan Elsevier. Turut sama hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Dato’ Kamel Mohamad.

Selain anugerah kecemerlangan penyelidikan institusi, pihak Clarivate Analytics menganugerahkan Hot Review Paper (1 penerima), Research and Innovation Excellence Researcher (7 penerima). Manakala pihak Elsevier menganugerahkan 12 penyelidik sebagai penerima MRSA bagi kategori International Collaboration (3 penerima), Prominent Topics in Research (4 penerima), Citation Classic (4 penerima) dan Young Researcher (1 penerima).

UMP turut berbangga dengan kejayaan pensyarah UMP, Profesor Madya Dr. Wan Azmi Wan Hamzah yang telah memenangi dua anugerah MRSA iaitu kategori Prominent Topics in Research untuk bidang penyelidikan pemindahan haba. 

Penyelidikan beliau berkaitan teknologi nanopartikel dispersion diterbitkan di dalam jurnal berkualiti dan diiktiraf berimpak tinggi berdasarkan sitasi yang diterima daripada pengkalan data Elsevier.

Beliau yang menjangkau usia 35 tahun juga dinobatkan Young Researcher berdasarkan pemilihan penyelidik terbaik di bawah usia 40 tahun. 

Penerbitan beliau banyak tertumpu kepada aplikasi bendalir dalam bidang automotif. Di antara produk berimpak yang terhasil daripada penyelidikan beliau adalah bendalir penyejuk nano untuk radiator kenderaan, pelincir nano untuk penyaman udara kenderaan, dan yang terkini cat nano untuk komponen automotif.

Berkaitan dengan penerbitan, sebanyak 116 penerbitan telah direkodkan di dalam data scopus dengan jumlah sitasi 2083 dan h-index 27. Daripada jumlah penerbitan tersebut, sebanyak 97 penerbitan telah diindek oleh web of science. Sebanyak 57 penerbitan telah dikategorikan jurnal berimpak tinggi Q1 yang menyumbang kepada data sitasi yang tinggi di dalam pengkalan data Elsevier. Sebahagian besar penerbitan ini adalah di dalam bidang pemindahan haba.

Selain itu, seramai 15 penyelidik daripada Malaysia menerima anugerah Highly Cited Researcher 2018 daripada Clarivate Analytics yang merupakan pengiktirafan peringkat dunia bagi penyelidik Malaysia yang mendapat sitasi tertinggi 1 peratus dalam Web of Science.

Majlis yang berlangsung ini turut memberi Pengiktirafan Jurnal Crème 2019 kepada 27 jurnal Malaysia yang menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa berdasarkan metric jurnal CiteScore, Impact Factor, Quartile Journal dan jumlah sitasi.    

Menuju kegemilangan, UMP terus melakar kejayaan membanggakan buat warganya dan bagi Prof. Ir. Dr. Wan Azhar, kejayaan ini milik bersama tatkala UMP berusia semuda 17 tahun sebagai sebuah universiti awam dan merupakan salah satu universiti teknikal (MTUN) di Malaysia.
 
Dengan slogan `Bergerak Bersama’ warga UMP akan terus memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan yang bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih kreatif juga inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini selain meningkatkan keupayaan latihan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di negara ini.
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri