Skip to main content

UMP kongsi kepakaran bantu tingkat ekonomi golongan B40

PEKAN, 3 Julai 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkongsi kepakaran yang dimilikinya dalam bidang fertigasi dan internet untuk semua (IOT) dengan menghasilkan projek tanaman fertigasi dengan teknologi baharu (Projek IoT Based  Smart Farming System) yang melibatkan seramai 45 orang peserta dari daerah Pekan, Kuantan, Maran dan Temerloh.
 
Projek yang berlandaskan aplikasi pertanian dan teknologi itu bakal meningkatkan taraf hidup golongan bumiputera terutamanya bagi yang keluarga berpendapatan rendah (B40) di luar bandar di samping mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
 
Menurut Penolong Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Nurul Hazlina Noordin, projek ini mendapat geran daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi pelaksanaan program di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) 2020 yang telah memperuntukkan sebanyak RM2,270,000 bagi tempoh lima tahun iaitu dua tahun adalah proses pelaksanaan projek dan tiga tahun adalah proses pemantauan projek. 

”Proses pelaksanaan projek bermula pada Julai 2022 dan peserta mula menerima peralatan dan proses pemasangan sistem fertigasi dijalankan.
 
”Sehingga kini, kesemua peserta telah menerima sistem fertigasi bagi 1,000 polibeg dan 18 orang peserta telah dilengkapi dengan sistem IoT.  

”Seramai 30 orang peserta pula telah menjalankan  proses penanaman manakala 15 orang peserta lagi dari fasa tiga masih dalam proses untuk memulakan penanaman,” katanya.
 
Selain itu, tanaman yang diusahakan oleh peserta adalah terung mini, lada dan timun.  

Peserta diselia dan dipantau oleh Pengurus Projek yang dilantik bagi membantu dan memastikan peserta ini berupaya mencapai peningkatan pendapatan.
 
Projek DPUB TERAJU ini telah dipamerkan sempena kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang dalam rangka lawatan kerja ke UMP baru-baru ini. 

UMP kongsi kepakaran bantu tingkat ekonomi golongan B40

UMP turut berkongsi tentang kejayaan seorang peserta projek ini iaitu Mohamad Fauzi Mohamad Radzi yang berjaya mencapai pendapatan sehingga RM28,000 dalam tempoh enam bulan menjalankan penanaman terung mini. 
Hasil kunjungan ini,  Dato’ Seri Mohamed Khaled menyarankan agar inisiatif ini diperluaskan kepada komuniti setempat dalam usaha meningkatkan ekonomi mereka.

Beliau juga turut menyarankan agar projek pertanian seumpamanya diterapkan di dalam Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)  sekitar daerah Pekan.   

Kejayaan peserta ini menjadi sumber inspirasi kepada peserta-peserta lain. 

Peserta juga tidak menghadapi masalah untuk memasarkan hasil pertanian mereka dan sentiasa mendapat permintaan yang menggalakkan.
 
Pendekatan yang diambil oleh Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat (BKIM) yang menjalankan lawatan bulanan, memantau dan memberi tunjuk ajar ternyata memberi impak positif kepada peserta. 

Turut dipamerkan UMP STEM Lab dan program kolaborasi  UMP-UNESCO Information Literacy Program.

Disediakan oleh: Rozana Sahadan, Pusat Kolaborasi Industri dan Masyarakat (BKIM)

Reports by:
Admin UMP News