Skip to main content

UMP miliki penyelidik bertaraf dunia

Kuantan, 12 April- Universiti Malaysia Pahang ( UMP) terbukti mempunyai para akademia dan penyelidik bertaraf dunia yang boleh dibanggakan apabila meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa. Sebagai mengiktiraf pencapaian ini seramai 160 penerima anugerah yang merangkumi 130 bagi kategori penerbitan Jurnal, 13 bagi kategori Produk, 10 bagi kategori Paten, dua bagi kategori Geran Antarabangsa dan satu bagi setiap kategori Buku, Kualiti dan Kreativiti  menerima Anugerah Cendekia Bitara (ACB) dalam majlis yang berlangsung  di Zenith Hotel baru-baru ini. 

Cendekia Bitara turut menampilkan  pengiktirafan  Anugerah Akademik Universiti ( AAU) yang dikhususkan kepada para akademia UMP yang terbukti berwibawa dan berketokohan dalam lapangan pengajaran dan pembelajaran.

Berbangga dengan pencapaian ini Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato' Sri Ibrahim Ahmad mengingatkan penyelidik UMP agar perlu bersedia dengan cabaran  ke arah kelestarian ekosistem penyelidikan dan inovasi di UMP.

“Dengan menukar kerangka paradigma dan pemikiran kita terhadap aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan di Universiti ini dapat mencipta nilai keuntungan (value for money) dalam konteks kelestarian kewangan UMP. Selain itu, dengan dasar penyelidikan dan inovasi UMP yang menitikberatkan soal pulangan daripada pelaburan (return on investment – ROI) melalui dapatan atau hasil kajian yang bukan sahaja menjana keuntungan, tetapi juga mempunyai nilai kebolehgunaan (utility) yang boleh dimanfaatkan masyarakat secara berterusan,” katanya.

Beliau turut melihat Paradigma lab to market selama ini telah mengekang keupayaan banyak universiti untuk mencari pasaran komersial bagi produk-produk penyelidikan yang dihasilkan. Namun, sekiranya paradigma ini diubah kepada market to lab, tidak hanya universiti beroleh manfaat komersial daripada pegangan pasaran (market share) yang telah sedia dimiliki oleh rakan kongsi swasta atau industri tersebut. Malah kolaborasi ini membolehkan universiti berperanan mengembangkan potensi rakan kerjasama terutamanya syarikat-syarikat berstatus kecil dan sederhana (small and medium enterprises – SMEs).

Selain itu menyedari keperluan untuk mewujudkan kolaborasi lab to market yang bersifat menang-menang (win-win) tersebut, maka perlu mengorientasikan semula keupayaan inovasi UMP terhadap projek kajian yang bersifat gunaan(applied research) berbanding penyelidikan fundamental.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Malam Anugerah Cendekia Bitara yang meraikan akademia universiti ini yang telah mengungguli pencapaian dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan kreativiti ke arah meningkatkan taraf pendidikan tinggi di Negara ini. Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof. Dato Sri Dr Daing Nasir Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhaili Zamli,  Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pendaftar merangkap Ketua Pegawai Operasi, Profesor Madya Dr. Ridzuan Darun.

Sementara itu menurut Prof. Dato Sri Dr Daing Nasir, pencalonan tertinggi ACB dicatatkan bagi kategori Jurnal dengan jumlah 484 pencalonan iaitu mewakili 93 peratus daripada keseluruhan pencalonan bagi Anugerah Cendekia Bitara 2018. Lebih membanggakan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP) berada di tahap terbaik apabila seramai 49 pensyarahnya menerima anugerah bagi kategori penerbitan Jurnal.

Ujarnya, ungkapan S.T.A.R.S “Glimpses of Glory” mengangkat tema kali ini yang menggambarkan kejayaan UMP kini ibarat sebutir bintang yang bersinar gemilang, namun setiap abjad pada perkataan S.T.A.R.S itu sendiri sebenarnya mewakili roh atau semangat lima Nilai Teras Universiti ini iaitu hubungan yang kuat dengan yang maha Pencipta, teguh mempertahankan prinsip yang disepakati, kreatif membuat keputusan yang bijaksana, cekal menghadapi cabaran dan pro aktif dalam tindakan.

UMP juga muncul sebagai sebuah Universiti 5 Bintang dengan kedudukan 188 dalam kalangan universiti-universiti Asia sebagaimana penarafan QS tahun 2019, komitmen terhadap inovasi hijau turut diiktiraf apabila UMP kini tersenarai sebagai antara The Top 10 Ranking Universities yang aktif menjalankan dalam penarafan UI Green Metric dengan meletakkan UMP di kedudukan kelima dalam senarai Top 10 tersebut. Begitu juga UMP muncul hasilkan paten tertinggi dalam bidang teknologi hijau dalam kalangan universiti bukan penyelidikan (non-RUs).

Bagi perlindungan harta intelek yang dihasilkan daripada aktiviti penyelidikan saintifik dan teknologi serta kreativiti, sejumlah 579 harta intelek telah difailkan UMP sehingga tahun 2018. Sebanyak 75 harta intelek baharu UMP telah menerima perlindungan undang-undang yang meliputi, paten, utility innovation, hakcipta dan cap dagangan.

Majlis turut menyaksikan Dr Azwin Arif Abdul Rahim dari Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) dinobatkan penerima Anugerah Akademik Universiti bagi Anugerah Pengajaran (Kategori Sains Sosial) manakala Dr. Lee Chia Kuang pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FIM) menerima Anugerah Ahli Akademik Harapan. Di antara pemenang ACB adalah Prof Madya Ir Dr Mohd Fairusham Ghazali dan Prof Madya Dr Wan Azmi Wan Hamzah yang meraih anugerah kategori penerbitan jurnal terbaik dan produk penyelidikan. Turut menerima anugerah Prof. Madya Dr. Muzamir Hasan dan Prof Madya Dr. Saiful Nizam Tajuddin bagi kategori geran antarabangsa. 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri