Skip to main content

UMP tersenarai di tangga 201-250 terbaik dalam penarafan THE Asia

PEKAN, 23 Jun 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus melestarikan kecemerlangan apabila tersenarai di kedudukan 201-250 dalam Times Higher Education Asia University Rankings 2023 (THE Asia) buat julung kalinya pada tahun ini. 

Penilaian dibuat berdasarkan kepada pengajaran dan pembelajaran (25%), penyelidikan (30%), Sitasi Penerbitan (30%), Pengantarabangsaan (7.5%) dan Industri (7.5%).    
Kejayaan ini sekali gus meletakkan UMP pada kedudukan kesembilan terbaik di Malaysia dan pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). 

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMP akan sentiasa memastikan kualiti program akademiknya untuk memastikan para graduannya dilengkapi dengan pengetahuan teknikal yang relevan serta dapat memenuhi kehendak sektor industri utama negara agar kekal berdaya saing di peringkat global.

Usaha ini juga seiring dengan agenda Pelan Strategik UMP 2021-2025.

UMP tersenarai di tangga 201-250 terbaik dalam penarafan THE Asia

“Universiti juga akan terus mengungguli bidang penyelidikan dan inovasi pada masa akan datang dengan keupayaan teknologi UMP melalui bilangan produk ciptaan dan penghasilan penemuan atau teknologi baharu yang berimpak tinggi serta dapat memberi manfaat yang besar kepada komuniti dan di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, kedudukan ini seterusnya turut menyokong reputasi UMP sebagai institusi pendidikan dan yang diiktiraf dunia.

“UMP akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan industri, agensi kerajaan dan alumni termasuk institusi antarabangsa dalam meningkatkan kecemerlangan inisiatif pengantarabangsaan yang dapat menyumbang terhadap agenda pembangunan negara dan bersaing di peringkat global,” katanya.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua staf dan pelajar yang telah menyokong kejayaan UMP dalam meningkatkan prestasi institusi pada peringkat Asia dan mengharapkan komitmen yang berterusan ini akan menyerlahkan reputasi serta penjenamaan UMP dalam kalangan institusi antarabangsa.

UMP tersenarai di tangga 201-250 terbaik dalam penarafan THE Asia

Turut tersenarai di dalam penarafan THE Asia edisi 2023 adalah, Universiti Teknologi Petronas (UTP) #63, Universiti Malaya (UM) #66, Universiti Utara Malaysia (UUM) #99, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) #149, Universiti Putra Malaysia (UUM) #154, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) #161, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) #168 dan Universiti Sains Malaysia (USM) #170.
 
Untuk maklumat lanjut, laporan pencapaian layari https://www.timeshighereducation.com/world-university-rankings/2023/reg…

Disediakan oleh: Mimi  Rabita  Haji  Abdul  Wahit,  Bahagian  Komunikasi  Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit