Skip to main content

UMPSA anjur Program Jurulatih Renang Tahap 1 dan Penyelamatan Di Air

SHAH ALAM, 25 September 2023 - Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Aquasplash Academy telah menganjurkan program Jurulatih Renang Tahap 1 dan Penyelamatan Di Air baru-baru ini.

Program enam hari di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi – Pensijilan Profesional (KPT-PACE) itu telah diadakan di Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Seramai 90 orang pelajar dari 15 buah institusi yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT), Politeknik dan Kolej Komuniti telah menyertai program itu. 

Program itu dianjurkan bertujuan untuk memberi nilai tambah kepada graduan selain meningkatkan standard latihan renang dan keselamatan di air sekali gus memberi pendedahan potensi karier di dalam bidang ini. 

Program Jurulatih Renang Tahap 1 adalah program latihan renang yang dilaksanakan untuk individu yang ingin mempelajari asas renang. 

UMPSA anjur Program Jurulatih Renang Tahap 1 dan Penyelamatan Di Air

Program ini mengajarkan teknik asas renang, pernafasan dalam air, gerakan kaki, gerakan tangan, dan teknik menyelam. 

Manakala Program Penyelamatan Di Air pula adalah kemahiran yang tidak boleh diabaikan kerana setiap tahun, banyak kemalangan berlaku di kolam renang, tasik, pantai, laut dan sebagainya. 

Melalui siri latihan yang dijalankan para peserta dapat mempelajari teknik-teknik pencegahan kelemasan, bantuan kepada mangsa lain serta keselamatan peribadi. 

Selain itu, ia mampu untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan keselamatan di air.

Program atau kursus berkaitan renang dan menyelamat perlu dilakukan, malahan perlu ditingkatkan agar ia bukan sahaja dapat memberi kesedaran tentang kepentingan keselamatan di air, malahan teknik yang betul juga penting untuk mengurangkan kadar kematian akibat kelemasan di dalam negara.

Disediakan oleh: Ts. Dr. Siti Rabiatull Aisha Binti Idris, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News