Skip to main content

UMP jalin kerjasama dengan 8 rakan industri

Pekan, 9 Disember 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai perjanjian bersama dengan lapan industri dalam pembangunan penyelidikan dan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) yang bakal memberi manfaat dalam melahirkan graduan holistik.

Rakan industri itu melibatkan Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd., MZR Global Sdn. Bhd., Cybersecurity Malaysia, MR OSH Solution, Singularity Aerotech Asia Sdn. Bhd., Zen Consult, Pusat Kutipan Zakat Pahang dan BI Technologies Corporation Sdn. Bhd.

Hadir menandatangani perjanjian Naib Canselor, Profesor Ts. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang mewakili UMP manakala pihak industri diwakili oleh Penolong Pengurus Besar Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd., Ahmad Kamari Nordin, Pengerusi MZR Global Sdn. Bhd., Dr. Mohd Fauzi Shaffie dan Ketua Konsultan MR OSH Solution, Muhammad Rushdi Abdul Rahman.
 

UMP jalin kerjasama dengan 8 rakan industri

Turut sama hadir Pemangku Ketua Bahagian Cybersecurity Malaysia, Mohd Zabri Adil Talib, Ketua Pegawai Eksekutif Singularity Aerotech Asia Sdn. Bhd., Hafeiz Murshidie Hasan, Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat, Pusat Kutipan Zakat Pahang, Tuan Haji Che Samsol Ibrahim, Pengurus Besar BI Technologies Corporation Sdn. Bhd., Mohd Podzi Haji Mahmud, dan Ketua Jurutera Zen Consult, Ir. Mohd Zamany Hasan.

Menurut Profesor Ts. Dato’ Dr. Yuserrie, kerjasama dengan pihak Kaneka (Malaysia) Sdn. Bhd. melibatkan elemen kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT), realiti maya (VR) dan sistem keselamatan.

“Manakala kerjasama dengan MR OSH Solution membabitkan pembangunan dalam sistem aplikasi mudah alih HSE dan BI Technologies Corporation Sdn. Bhd. pula melibatkan kerjasama dalam WBL.

“Program pembelajaran berasaskan pekerjaan atau WBL ini akan memberi pendedahan industri kepada pelajar di sepanjang pengajian mereka.

Inisiatif ini selaras dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 iaitu inovasi dengan kerjasama industri dalam usaha universiti untuk melahirkan graduan yang boleh mengaplikasikan teori yang dipelajari di universiti dalam penyelesaian masalah praktikal sebenar di industri,” katanya.
 

UMP jalin kerjasama dengan 8 rakan industri

Beliau percaya melalui kerjasama ini, staf dan pelajar dapat didedahkan kepada teknologi terkini, pengetahuan dan pelbagai kemahiran yang tidak ternilai daripada industri dan pada masa yang sama meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka melalui inovasi akademik dan penyelidikan.

Selain itu juga, tumpuan turut diberikan kepada pelajar untuk berinteraksi dan bekerja dengan rakan industri mengenai tugasan dan projek mereka serta mempunyai akses ke makmal, bengkel dengan teknologi terkini untuk mengembangkan kemahiran mereka.

Pada kali ini, program dilaksanakan hasil kerjasama Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat (BKIM) dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dengan kerjasama yang melibatkan Fakulti Komputeran (FK), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA).

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan  Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit