Skip to main content

UMPSA terima kunjungan hormat YB Senator Isaiah D Jacob, Ahli Dewan Negara Parlimen

PEKAN, 18 April 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini menerima kunjungan hormat daripada Ahli Dewan Negara Parlimen Malaysia, Yang Berhormat Senator Isaiah D Jacob bagi meninjau kemudahan fasiliti Orang Kurang Upaya (OKU) serta melihat sendiri inisiatif dan sumbangan universiti dalam usaha mencapai inklusiviti bagi menyantuni warga OKU UMPSA serta komuniti sekitar. 

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU),  Zuhami Omar dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Khairul Amri Ahmad. 

Kehadiran YB Senator Isaiah D Jacob disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman. 

Turut sama hadir Ketua Pustakawan, Kamariah Gono, Pengarah Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya, Dr. Munira Abdul Razak serta Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah.

UMPSA terima kunjungan hormat YB Senator Isaiah D Jacob, Ahli Dewan Negara Parlimen

Program yang diadakan di Perpustakaan UMPSA Pekan itu dihadiri lebih 50 jemputan yang terdiri daripada WARIS (kakitangan UMPSA yang mempunyai tanggungan OKU), kakitangan OKU UMPSA, pelajar OKU UMPSA dan warga Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK DAMAi) telah menghadiri program ini.

Semasa sesi perbincangan bersama para jemputan dan delegasi UMPSA, YB Senator Isaiah D Jacob menyokong inisiatif universiti bagi memperkasakan mahasiswa kurang upaya dengan cadangan pelaksanaan ‘Pilot Project TVET Inclusive’ yang bukan sahaja melibatkan mahasiswa UMPSA, malah mahasiswa daripada institusi pengajian yang lain. 

Di samping itu juga, beliau turut berkongsi mengenai cadangan pelaksanaan Pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Ekosistem dan Teknologi Inklusif: Model Rintis Negeri Pahang Darul Makmur. 

Hasil daripada Lawatan Kunjungan Hormat YB Senator ini dapat memberi peluang kepada warga OKU UMPSA untuk berinteraksi dan mendapatkan maklum balas secara langsung berkenaan hal-hal yang berkaitan OKU. 

Antara isu-isu yang diperbincangkan adalah berkenaan kebajikan golongan istimewa ini seperti isu parkir dan pelaksanaan serta penguatkuasaan Dasar Satu Peratus pekerjaan dan peluang pekerjaan bagi sektor kerajaan dan sektor-sektor lain yang berkaitan.

Disediakan Oleh: Nurul Izzah Abu Bakar, Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya, UMPSA

Reports by:
Admin UMP News