Skip to main content

UMPSA kumpul dana bantu pelajar Palestin

PEKAN, 17 November 2023 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hari ini  menyerahkan sumbangan sebanyak RM 15,000 kepada Yasin Y.Albarqouni, pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) yang berasal dari Palestin sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib pelajar ini. 

UMPSA kumpul dana bantu pelajar Palestin

Semasa sesi pertemuan ini, Dato' Ts. Dr. Yuserrie turut berpeluang mendapatkan perkembangan terkini keluarga Yasim di sana dan mengenai peperangan yang berlaku di bumi Palestin sejak 7 Oktober lalu.

Menurut Dato' Ts. Dr. Yuserrie, sumbangan ini merupakan hasil kutipan inisiatif Institut Pengajian Siswazah (IPS) dan Yayasan UMP daripada kempen yang telah dilaksanakan sejak Oktober  lalu daripada warga  UMPSA dan masyarakat luar.

Beliau menzahirkan rasa syukur pada hari ini dapat menyerahkan sumbangan warga universiti kepada Yasin selain akan terus memberi peluang orang ramai untuk menyumbang membantu pelajar ini mengumpul dana. 

Tambahnya, usaha ini akan diteruskan untuk membantu Yasin dan keluarganya agar dapat meringankan beban yang dialami dan mendoakan agar  bumi Palestin dapat terus dipertahankan.

“Selain itu, universiti juga amat prihatin terhadap usaha membantu pelajar ini semasa di dalam kampus agar tidak mengganggu pengajiannya.

“Dalam masa yang sama, prihatin terhadap nasib rakyat Palestin, UMPSA berjaya mengumpul sebanyak RM52,000.00  

“Ia menerusi sumbangan daripada anak syarikat UMPSA sebanyak RM30,000.00 dan  sebanyak RM22,000.00 pula berjaya dikumpul dalam kalangan warga universiti untuk rakyat Palestin,” katanya. 

Manakala menurut Yasin, kini keluarganya yang terdiri daripada kedua ibu bapa, isteri, adik dan seorang anak kini  berada di sempadan Rafah. 

Beliau berhasrat untuk membawa keluarganya ke Malaysia memandangkan beliau kini masih dalam pengajian di UMPSA.

Yasin turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan UMP dan seluruh rakyat Malaysia yang memberi sumbangan ini.

Hadir sama Dekan IPS, Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya, Pengurus Kanan, IPS, Abd Rahman Haji Safie dan Pengarah, Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Mimi Rabita Haji Abd Wahit.

Bagi yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh menyumbang secara dalam talian di akaun Yayasan UMP- Maybank (556235317085) dan mengisi ruangan Rujukan Penerima/ Recipient Reference seperti berikut: YASIN PALESTINE.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris