Skip to main content

Yayasan UMP buka peluang pembelajaran luar bilik darjah untuk murid pintarians

PEKAN, 27 November 2023 - Seramai 120 orang murid dari sepuluh buah sekolah di daerah Pekan bersama dengan sepuluh orang guru pengiring dan 30 orang fasilitator, telah menyertai program lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur melalui perjumpaan kelapan Projek Pintar. 

Program anjuran Yayasan UMP itu turut mendapat kerjasama dengan Yayasan Bank Rakyat, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan UMP Advanced.

Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid tahun 6 mengenai suasana pembelajaran interaktif Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), terutamanya dalam memahami sains dan mengenal haiwan.

Tempat-tempat menarik seperti Petrosains KLCC dan 99 Wonderland Park telah menjadi destinasi lawatan oleh para murid sekolah ini. 

Lawatan itu juga  memberi peluang kepada setiap murid untuk meluaskan wawasan mereka dalam aplikasi praktikal STEM melalui pengalaman langsung di tempat-tempat seperti yang dikunjungi.  

Dengan pendedahan seperti ini, diharapkan para pelajar dapat memperoleh pemahaman yang lebih mendalam mengenai relevansi STEM dalam kehidupan seharian, merangsang minat ke arah bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik.

Seterusnya, kehadiran fasilitator berpengalaman juga turut menyumbang kepada keberkesanan program ini melalui sesi-sesi interaktif yang membangkitkan semangat pengetahuan dan perkongsian bersama murid pintarians.

Dengan adanya dialog dua hala antara murid dan fasilitator, setiap peserta dapat bertukar pendapat serta mendapatkan inspirasi yang bernilai bagi perkembangan diri mereka dalam bidang STEM.

Di 99 Wonderland Park pula, pengalaman meneliti pelbagai spesies haiwan telah memberikan pengajaran berharga kepada para peserta. 

Pendedahan secara langsung terhadap kepelbagaian alam semula jadi juga telah memperkuatkan pemahaman mereka mengenai kepelbagaian spesies dan kepentingan kelestarian alam sekitar.

Menurut salah seorang peserta yang hadir, Muhammad Zunul Zarrieff Abdullah dari Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar, keseronokan dan manfaat yang diperoleh dari program ini adalah nyata melalui reaksi positif yang terlihat melalui semangat dan keinginan untuk terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti. 

“Pendekatan yang santai, namun pembelajaran ini telah mencetuskan minat yang mendalam dalam buat saya dan rakan-rakan, terutamanya apabila mengenali terma Sains yang tidak pernah dilihat, “Malah, mengenali haiwan-haiwan yang sukar dijumpai menjadikan pembelajaran ini lebih bermakna dan menyeronokkan,” katanya.

Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP merangkap Pengarah Eksekutif KLCC Urusharta Sdn. Bhd., Dato' Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar, ke Petronas KLCC untuk menyaksikan keseronokan murid pintarians.

Yayasan UMP buka peluang pembelajaran luar bilik darjah untuk murid pintarians

Diharapkan melalui program ini, semua pelajar akan mendapat pendedahan yang lebih meluas tentang pengalaman pembelajaran yang berharga. 

Di samping itu, program ini juga dapat membantu mengeratkan hubungan silaturahim antara murid dan fasilitator, seterusnya dapat mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan saling menyokong dalam proses pembelajaran yang akan datang.

Disediakan oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Yayasan UMP

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News