Skip to main content

Kerjasama UMP, SSM dalam menjayakan Work-Based Learning Education

PEKAN, 9 Mac 2021 – Kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dimeterai dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini mampu menyumbang ke arah melahirkan pelajar yang berkualiti untuk memberikan perkhidmatan yang memenuhi keperluan industri.
SSM merupakan sebuah badan kawal selia dan penguatkuasaan entiti perniagaan serta korporat yang juga mendaftarkan perniagaan dan memperbadankan syarikat di samping membekalkan maklumat entiti perniagaan kepada orang awam.
Kerjasama ini dapat memupuk semangat keusahawanan melalui kerjasama akademik dan industri dengan pendekatan pembelajaran kursus secara Work-Based Learning (WBL) Education.
Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada seramai 28 orang pelajar kumpulan pertama program Analitik Data UMP untuk sesi pengambilan 2019/2020 serta 63 orang pelajar kumpulan kedua untuk sesi pengambilan 2020/2021.
Perkongsian pintar yang dijalinkan ini bukan sahaja terbatas kepada pertukaran ilmu dan kepakaran malahan juga memenuhi keperluan negara melalui keterlibatan universiti-industri berteraskan pengetahuan merentasi penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan dan promosi strategik.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung secara dalam talian itu menyaksikan UMP diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Dekan Pusat Sains Matematik (PSM), Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh.
Manakala SSM pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Nor Azimah Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Haji Rosli Haji Ahmad.
Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) PSM, Dr. Zulkhibri Ismail@Mustofa dan Ketua Program 2u2i (Analitik Data), Dr. Siti Zanariah Satari.
Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli, Program 2u2i kini semakin mendapat perhatian dan sokongan daripada pemain industri. 
“Program Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Analitik Data merupakan salah satu daripada program pengajian yang ditawarkan menggunakan mod 2u2i di PSM.
“UMP telah mengorak langkah menjalinkan kerjasama SSM bagi penempatan latihan industri program 2u2i Analitik Data selama setahun di SSM. 
“Kesediaan pihak SSM untuk berkerjasama dengan UMP merupakan satu petunjuk kepercayaan pemain industri yang senior terhadap keupayaan universiti ini.
“Dengan kepakaran yang dimiliki oleh SSM selama 19 tahun ini, kami yakin ia dapat membantu meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran bakal graduan Program Analitik Data UMP khususnya dalam konteks kemahiran dan aplikasi Sains Data dan Analitik bagi merebut peluang pekerjaan di masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Nor Azimah berkata, kerjasama ini merupakan satu peluang kepada SSM untuk melaksana dan menjayakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat terhadap pelajar pendidikan tinggi.
“Dalam menguruskan data dan maklumat entiti perniagaan dan korporat di negara ini, pihak SSM sedar kepentingan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah universiti awam dan swasta berkaitan Work-Based Learning (WBL) Education.
“Saya juga melihat kerjasama ini sebagai satu peluang kepada SSM untuk melaksana dan menjayakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat terhadap pelajar pendidikan tinggi khususnya pelajar di UMP,” katanya. 

SSM komited untuk menerima pelajar Program Analitik Data UMP bagi memenuhi keperluan WBL ini. 
Pendedahan akan diberikan kepada pelajar mengenai dasar, prosedur dan peranan serta tanggungjawab SSM. 
Sepanjang tempoh program, pelajar juga berpeluang untuk melakukan penyelidikan menggunakan data tertentu.
Beliau percaya bahawa kerjasama ini mampu memberikan manfaat kepada SSM untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi pekerja melalui aktiviti pertukaran bahan rujukan, maklumat dan sumber ilmiah bersama UMP. 
Pihaknya juga sentiasa membuka peluang dan mengalu-alukan para pelajar universiti yang berminat untuk melaksanakan program latihan industri atau praktikal dengan SSM. 
Setiap tahun, SSM meletakkan sasaran pengambilan seramai 40 orang pelajar untuk menjalani latihan industri dan praktikal bagi memenuhi keperluan modul pembelajaran mereka.
Selain itu, pihak SSM juga telah melancarkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada semua usahawan kumpulan B40 dan semua pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta sepenuh masa untuk menceburi bidang perniagaan sebagai langkah pertama ke arah menjadi seorang usahawan yang berjaya. 

Disediakan Oleh: Dr. Siti Zanariah Satari, Ketua Program (Analitik Data), Pusat Sains Matematik dan Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News