Skip to main content

Kolaborasi UMP, IYRES dalam teknologi data raya dan pembangunan belia

KUALA LUMPUR, 18 November 2021 - Satu memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik dimeterai antara Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berlangsung di Dewan Podium, Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya hari ini. 
 
Kerjasama ini dapat memberi faedah kepada kedua-dua pihak dalam menghasilkan output berpacukan sains data yang boleh dimanfaatkan oleh kesemua pemegang taruh khususnya dalam aspek pembangunan belia di negara ini. 

Majlis MoU itu menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah IYRES, Dr. Muhammad Mahadi Mohamad dan Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP menandatangani dokumen MoU. 

Turut sama hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr. Vellapandian Ponnusamy dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

Kolaborasi UMP, IYRES dalam teknologi data raya dan pembangunan belia

Menurut Dr. Muhammad Mahadi, menerusi usaha sama ini, IYRES yang merupakan sebuah institusi penyelidikan di bawah Kementerian Belia dan Sukan akan memanfaatkan data hasil kajian pembangunan belia dan pihak UMP dapat berkongsi kepakaran khususnya dalam konteks sains data yang dapat menyumbang ke arah penyediaan data raya (big data).

“Saya yakin IYRES berada di landasan yang tepat dengan adanya Hab Data Belia yang merupakan satu platform one stop centre data-data terkini dan relevan berhubung pembangunan belia.

“Hub Analitik merupakan salah satu inisiatif yang digerakkan dalam menghasilkan output berpacukan analitik data daripada data-data yang tersedia.  

“Hasil analitik yang dibangunkan bersifat diagnostik dan prediktif membolehkan pemegang taruh membuat keputusan dan perancangan berkaitan pembangunan belia dengan lebih objektif dan strategik,” katanya.

Menurutnya, bagi melengkapkan inisiatif pengumpulan data untuk menyokong pelaksanaan hab analitik, data warehouse akan dibangunkan menerusi gerak kerja yang melibatkan pelaksanaan secara merentas kementerian atau jabatan dan agensi yang telah diimplementasikan melalui Ydata@IYRES

Kolaborasi UMP, IYRES dalam teknologi data raya dan pembangunan belia

Manakala menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie pula, MoU ini juga merupakan satu bentuk kerjasama bersama untuk memenuhi tugas dan fungsi kedua-dua belah pihak dalam menjalankan inisiatif penyelidikan, analisis data, kepakaran, penerbitan dan dalam penganjuran bersama forum, siri diskusi, seminar dan latihan dalam Data Raya serta pembangunan belia.
 
“Usaha sama di antara UMP dengan IYRES ini dilihat begitu strategik dan bertepatan dengan trend semasa dalam mendepani era revolusi industri 4.0 (IR 4.0) memandangkan analitik data raya (big data analytic) merupakan satu tonggak kemajuan teknologi masa depan,” ujarnya.
 
Dalam pada itu, delegasi UMP dan IYRES turut menyaksikan berlangsungnya Webinar Machine Learning & Data Science: The Future Impacts sebagai inisiatif bersama dalam mendapatkan maklumat yang jelas berkaitan data sains ini. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit