Skip to main content

UMP jalin kerjasama dengan Kedutaan Libya dan Premium Language Center

KUALA LUMPUR, 17 Mac 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pejabat Hal Ehwal Akademik Kedutaan Libya dan Premium Language Center (PLC)  dalam menyokong bidang akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan. 

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menandatangani MoU bersama Academic Attache Academic Office Embassy of Libya- Malaysia, Dr. Aiman Elmahmodi dan Presiden Premium Language Centre, Norhawaty Mansor dalam majlis yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. 

Turut hadir Duta Besar Libya ke Malaysia, TYT Mohamed A.M. Attia, Dekan Institut Pengajian Siswazah, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim dan Pengarah International Student Management Services Education Malaysia Global Services (EMGS), Ramlan Abd. Aziz. 

UMP jalin kerjasama dengan Kedutaan Libya dan Premium Language Center

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMP menawarkan sumber dan fasiliti yang menyokong persekitaran pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan serta kepakaran dalam pelbagai bidang. 

UMP jalin kerjasama dengan Kedutaan Libya dan Premium Language Center

“Sehingga kini, UMP mempunyai seramai 511 pelajar antarabangsa termasuk 201 pelajar prasiswazah dan 310 pelajar pascasiswazah daripada 33 negara termasuklah 18 daripadanya dari Libya. 

“Kolaborasi ini juga bakal memberi peluang lebih ramai pelajar dari Libya untuk mengikuti pengajian di UMP.

“UMP komited untuk melahirkan graduan yang cekap dan bersedia untuk berdaya saing global, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi,” katanya. 

Selain itu,  Insentif Kewangan dan Biasiswa yang ditawarkan oleh Kerajaan Libya akan membolehkan pelajar mengikuti pengajian  dan bakal menyumbang kepada pembangunan Libya pada masa depan. 

Kerjasama di antara Malaysia dan Libya bakal meneroka lebih banyak peluang berkaitan bidang pendidikan tinggi seperti kolaborasi penyelidikan, pertukaran kepakaran dan pelajar, program mobiliti dan lain-lain pada masa akan datang. 

Dalam pada itu, kerjasama UMP dengan PLC adalah bagi mengadakan kampus satelit bakal menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di universiti ini. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit