Skip to main content

Pelajar UMP pilih perwakilan minggu ini

PEKAN, 12 Januari 2021 - Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dilaksanakan secara dalam talian (online) sejajar dengan usaha mengadaptasi norma baharu.
Namun, sistem pengundian masih dikekalkan secara dalam talian dengan menggunakan sistem e-Voting yang telah diperkenalkan sejak dahulu lagi. 
Pelajar hanya perlu mengakses dalam e-Community bagi memilih calon yang dikehendaki.
Pada kali ini, seramai 2,122 orang pelajar daripada Fakulti Pengurusan Industri (FIM) dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal menjalankan tanggungjawab dalam Pemilihan MPP UMP bagi sesi 2020/2021 yang berlangsung pada 12 dan 13 Januari 2021. 
Menurut Pengarah Pemilihan MPP UMP, Che Mohammad Harith Ab Halim, pendaftaran calon telah bermula sejak 1 hingga 5 Januari 2021 lalu melibatkan penamaan seramai 30 orang calon. 
“Tempoh berkempen menerusi media sosial diadakan selama lima hari bermula 7 hingga 11 Januari 2021 bagi merebut 13 kerusi umum dan 27 kerusi fakulti.
“Pada tahun ini, hanya dua fakulti yang bertanding iaitu Fakulti Pengurusan Industri dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal memandangkan 38 kerusi menang tanpa bertanding,” katanya.
Selain itu, dengan norma baharu, proses pengundian ini juga mengambil masa dua hari. 
Hari pertama dikhaskan untuk pelajar Fakulti Pengurusan Industri dan hari kedua pula merupakan hari pengundian bagi pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.
Tiga orang calon bertanding untuk dua kerusi di Fakulti Pengurusan Industri ialah Basnel Marjonni Basri, Mohammad Azrul Hamim Mohd Azhar dan Noor Safwan Arif Noryami. 
Manakala tiga orang calon lagi bertanding untuk Jabatan Kejuruteraan Mekanikal iaitu Wan Muhammad Syafiq Wan Mohd Zafry, Syafiq Ahmad Abdul Aleem dan Muhammad Muadz Khairul Rizan bagi merebut dua kerusi di jabatan tersebut.
Keputusan rasmi pemilihan MPP UMP dijangka akan diketahui selewat-lewatnya pada jam 6.30 petang 13 Januari 2020.

 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris