Skip to main content

Imbau kenangan konvo UMP yang bermakna

PAYA BESAR, 26 Ogos 2022 - Sungguhpun sebulan telah berlalu, kenangan meraikan majlis konvokesyen akan sentiasa dikenang buat para graduan. 

Bagi alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP), Raja Norwati Raja Zainal Abidin yang telah berjaya menamatkan pengajian Master Eksekutif Pengurusan Korporat dari UMP Advanced, tarikh 9 Ogos 2022 pasti menjadi ingatan dan akan dikenang sepanjang hayat. 

Saat yang ditunggu untuk meraikan majlis konvokesyen bersama keluarga tersayang setelah setahun menanti bertukar menjadi tragedi apabila anak bongsu kesayangan, Ahmad Khaleeq Mikhail Ahmad Yani, sepuluh tahun, mengalami kecederaan di dahi dan bibir menyebabkan menerima jahitan akibat terjatuh di kolam renang di sebuah hotel di Kuantan sehari sebelum majlis berlangsung.

Imbau kenangan konvo UMP yang bermakna

“Pada awalnya, saya merancang untuk pergi mengambil jubah di UMP pada sebelah petang bersama kawan saya sehari sebelum majlis konvokesyen.

“Namun, tidak menyangka anak saya mengalami kecederaan dan terpaksa dirawat di hospital.

“Semua rancangan terpaksa ditukar dan mujur rakan sekuliah, Sri Gayatri a/p Manickam Sandaran yang mengambil jurusan yang sama membantu mengambil jubah dan kami pergi bersama menerima skrol di majlis konvokesyen,” katanya yang hanya hadir berdua dengan anak perempuannya, Marisa di dewan konvokesyen memandangkan suaminya menjaga Mikhail.

Walaupun tidak dapat meraikan bersama semua ahli keluarga, namun beliau reda dengan takdir yang berlaku dan yang penting anaknya Mikhail telah selamat.

Begitu juga kata-kata anaknya Mikhail yang berkali-kali memohon maaf seolah-olah faham dengan situasi yang menyebabkan mereka sekeluarga tidak dapat meraikan bersama.

Dalam pada itu, Raja Norwati atau lebih dikenali sebagai Intan dalam kalangan keluarga dan kenalan rapat, tetap teruja dapat berjumpa dengan rakan-rakan lain yang telah sekian lama tidak bertemu setelah tamat pengajian. 

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat pensyarah UMP yang banyak memberi bimbingan dan galakan sepanjang pengajian apatah lagi berjuang di saat pandemik COVID-19.

Pada masa ini, beliau sedang menyambung pengajian peringkat ijazah kedoktoran (PhD) di sebuah Isntitusi Pengajian Tinggi (IPT) di Kuala Lumpur. 

Kejayaannya menyuntik semangat buat suaminya, Ahmad Yani Ismail yang kini sedang menyiapkan projek akhir pengajian yang sama, iaitu Master Eksekutif Pengurusan Korporat dari UMP Advanced. 

Suaminya yang sepatutnya berkongsi pentas konvokesyen pada hari yang sama, namun terpaksa menangguh pengajian beliau akibat tuntutan kerja. 

Sungguh pun begitu, Intan tetap menyimpan impian untuk hadir ke majlis konvokesyen suaminya kelak bagi meraikan kejayaan buat mereka sekeluarga.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit