Skip to main content

3 daerah di Pahang terima jaringan perkongsian TechTools for Educators

KUALA LIPIS, 1 Disember 2023 – Seramai 85 tenaga pengajar daripada sekolah-sekolah tiga daerah di negeri Pahang berjaya dikumpulkan dalam program TechTools for Educators di antara tiga Pejabat Pendidikan Daerah Maran, Jerantut dan Kuala Lipis dengan Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Program selama dua hari bermula pada 30 November 2023 di Pusat Kegiatan Guru, Jengka serta Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut, dan pada 1 Disember 2023 di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis. 

Seramai 33 orang guru dari Jengka, 22 orang guru dari Jerantut dan 30 orang guru dari Kuala Lipis yang kebanyakannya tenaga pengajar bahasa Inggeris mendapat pendedahan tentang penggunaan teknologi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) iaitu seperti penggunaan ChatGPT dan TextInspector disambut baik oleh peserta dalam meningkatkan profesionalisme pendidikan mereka terutama dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 dan generasi Alfa. 

Menurut Ketua Delegasi Program, Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim, TechTools for Educators secara amnya bertujuan meningkatkan jumlah kemasukan pelajar pascasiswazah daripada industri yang terarah kepada industri pendidikan dan untuk meningkatkan keterlibatan kepakaran staf akademik PBM dalam komuniti di Pahang. 

“Ia diharap dapat membuka peluang kolaborasi strategik di antara PBM dengan institusi yang terlibat dapat dalam PdP, penerbitan, penyelidikan, dan khidmat komuniti serta membina jalinan kerjasama yang baik dengan pakar-pakar dalam bidang di universiti dan industri luar.

“Selain itu, program ini merupakan salah satu inisiatif PBM mengetengahkan program-program akademik yang ditawarkan di PBM seperti program Sarjana Sains Pembelajaran Bahasa Berintegrasi Teknologi (MScTILS) secara kerja kursus serta Program Sarjana dan Doktor Falsafah secara penyelidikan. 

“Semoga program seumpama ini dapat diteruskan ke semua daerah-daerah di Pahang demi mengoptimumkan libat sama PBM dengan masyarakat setempat. 

“Ia juga sejajar dengan kerangka Malaysia Madani-PBM sebagai pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan,” katanya. 

Tambah beliau, PBM mengambil peluang mempromosikan International Conference on Language Learning and Teaching (ICoLLT) Keempat yang akan berlangsung pada 25 dan 26 April 2024 di Kuala Lumpur,” katanya. 

“ICoLLT 2024 4.0 ini bakal menyaksikan kolaborasi tiga penjuru institusi pendidikan tinggi Asia iaitu UMPSA, Universitas Ahmad Dahlan, Jogjakarta, Indonesia dan HCMC University of Technology and Education, Ho Chi Minh City, Vietnam. 

“Ia akan membuka peluang untuk tenaga pengajar bahasa melebarkan jaringan untuk perkongsian ilmiah dan profesional serta pengembangan kepakaran,” ujarnya. 

Sesi Techtools for Educators di Kuala Lipis
Sesi Techtools for Educators di Kuala Lipis

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pegawai Pendidikan Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC) + (Bahasa) di ketiga-tiga daerah iaitu Mohd Asri Salleh dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran, Rozila Abd. Razak dari PPD Jerantut dan Mokhzani Mohd Fadir dari PPD Kuala Lipis kerana mengumpulkan tenaga pengajar di bawah pusat tanggungjawab masing-masing untuk program ini. 

“Maklum balas positif kolektif daripada pegawai-pegawai PPD dan guru-guru terlibat meyakinkan PBM akan kewajaran program ini. 

“Ia dapat untuk meningkatkan profesionalisme guru sekali gus menekankan keperluan penambahbaikan sistem sokongan dan infrastruktur sekolah-sekolah sedia ada di Pahang dalam mengintegrasikan teknologi dalam PdP,” katanya. 

Program ini melibatkan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PBM, Dr. Fatimah Ali, Ketua Program (Pengajian Siswazah) PBM, Dr. Azwin Arif Abdul Rahim, serta pensyarah-pensyarah PBM, Dr. Mohammad Musab Azmat Ali dan Dr. Nor Yazi Khamis. 

TechTools for Educators juga merupakan Objektif Strategik 1: Keunggulan TVET Aras Tinggi PPU1B(1) (Peratusan kemasukan pelajar dari industri) dalam Pelan Strategik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah 2021-2025 dan mendokong Sustainable Development Goals (SDG) 4: Quality Education UMPSA. 

Disediakan Oleh: Profesor Madya Dr. Hafizoah Kassim, Dr. Nor Yazi Khamis, Dr. Azwin Arif Abdul Rahim, Dr. Fatimah Ali, Dr. Mohammad Musab Azmat Ali, Pusat Bahasa Moden

Reports by:
Admin UMP News