Skip to main content

UMP, ECER rai pelajar luar bandar cemerlang

Seramai 96 pelajar cemerlang Akademik Juara empower ECER dirai dalam Majlis Kecemerlangan Akademik Juara empower ECER bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam majlis yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Gambang baru-baru ini.

 

Pelajar ini terdiri daripada 16 buah sekolah rendah dan 6 buah sekolah menengah di sekitar Kuantan dan Pekan. Program merupakan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) negeri Pahang.

 

Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Dato’ Khairuddin bin Mahmud. Turut hadir Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Kualiti),  Prof. Dato Dr Ishak Ismail,  Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Dr. Mohd Rozi Hassan, Pengurus ECERDC Wilayah negeri Pahang,Muzarir Karnain Mahmud Kamsani, Penasihat Persatuan Wanita UMP Matahari, Datin Sri Fazia Ali dan Presiden Persatuan Wanita UMP Matahari Prof. Datin Dr Mimi Sakinah Abd Munaim, 

 

Menurut Prof Dato Dr Ishak, UMP menghargai kepercayaan pihak ECERDC  dalam melaksanakan program Empower ECER  sejak 9 tahun lalu.

 

“Sehingga kini seramai 1100 pelajar yang mejoritinya daripada golongan B-40  yang berprestasi sederhana dan lemah dalam akademik melibatkan daerah Kuantan,Pekan dan Bera. Pelbagai program yang dianjurkan bagi mendedahkan pelajar kepada teknik dan kemahiran belajar yang lebih terkini dan efektif,” katanya.

 

Selain itu, berdasarkan keputusan peperiksaan pada tahun 2017, seramai 96 pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR,PT3 dan SPM. Daripada jumlah tersebut 12 orang pelajar calon UPSR, 39 pelajar dari calon PT3 dan 45 orang pelajar SPM yang memperolehi keputusan 5A ke atas.

 

Sementara itu ADUN Pulau Manis, Dato’ Khairuddin berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Belau yakin dan percaya program sebegini dapat membantu pelajar bukan sahaja kecemerlangan dan bersaing seiring dengan pelajar di bandar.

 

Beliau turut menghargai usaha ECERDC dan UMP yang turut melibatkan 160 pelajar dari empat buah sekolah di DUN Pulau Manis. Dalam majlis tersebut beliau telah menyampaikan  sijil dan wang tunai kepada  96 pelajar yang meraih keputusan 5A ke atas bagi pencapaian akademik pada pepeperiksaan lalu.

 

Pada masa yang sama sebanyak lapan buah sekolah yang menerima Anugerah Sekolah Rendah Terbaik Empower yang dimenangi oleh SK  Langgar (Pekan), SK Gambng (Kuantan) dan SK Kerayong Jaya (Bera). Manakala Anugerah Sekolah Rendah (Pelajar Asli) Terbaik dimenangi oleh SK Permatang Keledang dan SK Iskandar. Bagi kategori Sekolah Menengah Terbaik empower dimenangi oleh SMK Lepar,  SMK Tanjung  Lumpur dan SMK Mengkarak.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Nur Laila binti Afandi